Blog percuma

Foto hiasan – Unsplash

Blog atau tapak web boleh dibina dan dimiliki sama ada secara percuma atau berbayar.

Cuma blog secara percuma, karakter atau cirinya agak terbatas, berbanding blog berbayar. Maklumlah, percuma…kan!

Tetapi penampilannya agak menarik juga jika anda mempunyai daya kreativiti dan sedikit-sebanyak pengetahuan atau kemahiran untuk melakukan ubah suai, seperti padanan warna, saiz dan jenis tulisan. Selain itu pengetahuan mengenai kod-kod tertentu terutama memberikan anda lebih kepuasan.

Blog Percuma

Blog percuma biasanya dibuat melalui blogspot. Ia sangat mudah, hanya menggunakan e-mel anda. Ia percuma, sama ada domain (nama alamat tapak blog atau web anda) ataupun hosting (pengendalian tapak web/blog anda).

Domain blogspot percuma ini misalnya: xxxx.blogspot.com

Terdapat beberapa lagi selain blogspot yang menyediakan kemudahan ini secara percuma. Untuk mengetahui lebih lanjut, anda boleh cuba cari di internet. Di sini tidak dinyatakan, kerana tidak mahu dikatakan memberi publisiti percuma.

Namun, daripada banyak yang percuma itu, blogspot agak “boleh diterima” secara keseluruhan, terutama dari segi kecepatan untuk muncul atau terpapar di carian google, malah saiz kandungannya juga yang agak besar berbanding yang lain. Ini walaupun sesetengah pihak mengatakan ianya agak lama dan ketinggalan, dan hanya sesuai untuk blog peribadi.

Tidak salah, jika anda ingin mencuba atau baru ingin berjinak-jinak dalam pembikinan blog. Buat permulaan, jika ada yang percuma, buat apa bayar, kan! Cuba, jangan tak cuba.