RAMALLAH, 23 Jan – Dua rakyat Palestin terbunuh dalam operasi ketenteraan Israel di Burqin, sebuah pekan di barat bandar Jenin di utara Tebing Barat, kata Kementerian Kesihatan Palestin pada Khamis.
Kementerian mengenal pasti mangsa sebagai Qutaiba Shalabi, 30 tahun dan Mohammed Nazzal, 25 tahun.
Sumber Palestin di Jenin berkata tentera Israel mengepung sebuah rumah di Burqin pada malam Rabu, menggunakan pembesar suara menuntut mereka yang berada di dalam menyerah diri.
Pasukan itu melepaskan beberapa roket mudah alih ke arah rumah itu sebelum merobohkannya dengan jentolak, tambah sumber.
Sementara itu, tentera Israel dalam satu kenyataan akhbar berkata, semasa operasinya bersama agensi keselamatan Shin Bet, tenteranya membunuh dua “anggota gerakan Jihad Islam Palestin” yang terlibat dalam serangan pada 6 Januari di kampung Al Funduq, timur bandar Tebing Barat, Qalqilya, “yang membunuh tiga warga Israel dan mencederakan enam yang lain.”
Tentera Israel juga menahan beberapa individu yang didakwa ada kaitan dengan serangan itu, katanya, sambil menambah seorang askar Israel mengalami kecederaan sederhana semasa operasi dan dibawa ke hospital untuk rawatan.
Bagi hari ketiga berturut-turut, tentera Israel menjalankan operasi ketenteraan berskala besar yang digelar “Tembok Besi” di Jenin dan kem pelarian sekitarnya.
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata pada Selasa bahawa operasi itu bertujuan untuk “membasmi keganasan” di Jenin dan mendakwa Iran berada di belakang aktiviti militan anti-Israel di bandar itu.
Operasi itu dilakukan ketika Israel menghentikan pertempurannya di Gaza pada Ahad, ketika perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa. Namun, keganasan meningkat di Tebing Barat dengan serbuan di Jenin dan beberapa siri serangan peneroka ke atas perkampungan Palestin.
XINHUA