Pemandu lori tertimbus ditemui maut selepas hampir 19 jam usaha mengeluarkannya

RANAU – Usaha menyelamatkan seorang pemandu lori yang membawa muatan tiang elektrik mengambil masa hampir 19 jam selepas treler yang dipandunya itu terbabas ke dalam gaung sedalam 50 meter di Kampung Nabutan, di sini, pagi semalam.

Mangsa Mohd Raziman Sahrin, 30, akhirnya berjaya dikeluarkan 2.50 pagi tadi, bagaimanapun beliau yang ditemukan tertimbus dengan tanah disahkan meninggal dunia.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Penolong Penguasa Bomba, Ridwan Mohd Taib berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.41 pagi dan ketika tiba di lokasi didapati sebuah treler dengan muatan tiang elektrik jenis konkrit terbabas dan terjunam ke gaung.

“Terdapat seorang mangsa iaitu pemandu tertimbus di bawah treler. Pasukan bomba kemudian menjalankan kerja-kerja mengeluarkan mangsa dengan kaedah mengorek tanah menggunakan peralatan khas namun gagal.

“Pasukan bomba terpaksa menunggang bantuan kren dari Kota Kinabalu dan tiba kira-kira jam 6 petang. Kerja-kerja mengangkat treler dijalankan tetapi tidak berjaya dengan tiga kali percubaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pada jam 7.50 malam, teknik diubah dengan mengalihkan tiang-tiang elektrik sebanyak 60 hingga 70 batang.

“Seterusnya pasukan bomba dengan kaedah mengorek timbunan tanah menggunakan peralatan khas akhirnya mangsa berjaya dikeluarkan pada 2.50 pagi tadi.

“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan seterusnya mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Tambah beliau lagi, operasi penyelamatan dijalankan 13 anggota termasuk pegawai dengan disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), syarikat kren dan keluarga mangsa.

“Selepas memastikan keadaan selamat, operasi ditamatkan pada 3.12 pagi,” katanya.

BH ONLINE