Sabah siasat dakwaan pegawai masjid halang pelancong ambil gambar sebelum bayar

KOTA KINABALU – Kerajaan Sabah menyiasat video tular seorang kakitangan masjid di banda raya ini didakwa menghalang pelancong asing mengambil gambar sekitar masjid berkenaan jika tidak membuat bayaran terlebih dahulu.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah merangkap EXCO Pendidikan dan Agama, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata pihaknya akan mendapatkan maklumat terperinci isu terbabit.

“Nanti saya periksa. Tanggungjawab kita sebagai ahli jawatankuasa masjid, atau siapa sahaja di masjid, kita mesti menjaga adab dan mengalu-alukan sesiapa saja. Sama ada jemaah atau pelancong, kita perlu menyantuni mereka dengan baik,” katanya.

Beliau ditemui selepas Majlis Perhimpunan Kepimpinan Pendidikan Negeri hari ini.

Baru-baru ini, tular satu video sekumpulan pelancong China dihalang mengambil gambar oleh seorang lelaki yang didakwa kakitangan Masjid Bandaraya Kota Kinabalu.

Video terbabit telah dimuat naik dalam aplikasi media sosial Xiaohongshu (Red Note) yang digunakan di negara China dan mendapat pelbagai reaksi daripada pengguna aplikasi tersebut.

BH ONLINE