Remaja lelaki dikhuatiri lemas, motosikal ditemui dalam sungai

PENDANG – Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dikhuatiri lemas dipercayai terjatuh ke dalam sungai di Titi Chegar, di sini hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pendang, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Ezzat Emran Ezani, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 7.16 malam.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Pendang yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mohamad Farid Abdullah tiba di lokasi bersama enam anggota untuk memberi bantuan.

“Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah menerima panggilan melalui bilik kawalan BBP Pendang berhubung seorang mangsa dikhuatiri lemas di dalam sungai.

“Sebaik tiba di lokasi didapati terdapat sebuah motosikal jenis Modenas Kriss ditemui berada dalam sungai berkenaan.

“Berdasarkan maklumat saksi kejadian, mangsa adalah remaja lelaki berusia anggaran 17 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad Ezzat Emran berkata, tindakan penyelamatan dilakukan dengan membuat pencarian di permukaan air dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Jitra diaktifkan.

BH ONLINE