BUTTERWORTH – Dua lelaki warga Indonesia yang ditahan berkaitan rampasan beberapa pucuk pistol serta ratusan peluru didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas tuduhan memperdagangkan senjata api, bulan lalu.
Tertuduh, Zulkarnaini A Rahman, 44, dan Husaini, 22, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Indonesia terhadap mereka di hadapan Hakim Nor Azah Kasran.
Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama berdagang senjata api iaitu empat pucuk pistol jenama ‘Glock’, ‘Sig Sauer’ serta ‘Smith& Wesson’ dan laras senjata raifal M4 ‘Carbine Caliber’.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di perairan laut Perai dalam daerah Seberang Perai Tengah, jam 3.10 petang pada 27 Januari lalu.
Bagi kesalahan terbabit, mereka didakwa mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37) yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun serta enam kali sebatan.
Sementara itu, di mahkamah sama, Zulkarnaini turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki sepucuk pistol jenama ‘Sig Sauer’ di lokasi dan masa sama.
Pendakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1971 yang membawa hukuman penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun serta sebatan tidak kurang enam kali, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Nadia Jamal manakala tertuduh diwakili peguam, Nur Ashiqeen Mohd Sultan.
Semasa prosiding, tiada sebarang jaminan ditawarkan pihak pendakwaan terhadap kedua-dua tertuduh susulan kesalahan terbabit tidak dibenarkan ikat jamin.
Mahkamah kemudian menetapkan 14 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi kedua-dua pertuduhan.
Terdahulu, media melaporkan empat lelaki termasuk dua warga Indonesia ditahan polis bersama lima pucuk pistol, selaras senapang M4 serta 801 butir peluru dalam sebuah bot di kawasan perairan Perai di 1 batu nautika dari Barat Daya Sungai Perai, dekat sini, pada 27 Januari lalu.
BH ONLINE