Mangsa kedua hilang ketika memukat ditemui lemas

KUCHING – Mangsa kedua yang hilang selepas memasang pukat di Sungai Mendamit berdekatan Kampung Pulau Brunei di Limbang kelmarin, ditemui lemas, hari ini.

Mayat mangsa, Jordisone Jamit, 16, ditemui oleh penduduk kampung yang terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 9.20 pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, mayat mangsa ditemui di lokasi berdekatan mayat mangsa pertama iaitu bapa saudaranya, Atin Isik, 62, yang ditemui pada jam 11.24 pagi semalam.

“Anggota bomba kemudian membawa mayat mangsa kedua itu ke Rumah Panjang Thaddeus sebelum menyerahkannya kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Berdasarkan maklumat daripada keluarga, kedua- dua mangsa keluar rumah untuk memasang pukat di sungai berdekatan Kampung Pulau Brunei kira-kira 12 tengah hari, kelmarin,” katanya.

Beliau berkata, mangsa pertama ditemui ahli keluarga yang membuat pencarian pagi, semalam.

“Pencarian dijalankan oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang bersama anggota polis dan penduduk kampung,” katanya.

BH ONLINE