Tiada tuduhan rasmi ke atas Prof Ekhwan ketika letak jawatan Naib Canselor UKM

KUALA LUMPUR – Tiada sebarang tuduhan rasmi dikenakan ke atas Prof Dr Mohd Ekhwan Toriman ketika mengambil keputusan meletak jawatan sebagai Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

“Proses yang dibuat Naib Canselor UKM itu adalah tindakan beliau menghantar surat (peletakan jawatan) tanpa ada tuduhan secara rasmi yang dikenakan kepadanya.

“Ia bukan oleh kerana siasatan sudah dibuat dan sudah pun dimuktamad, maka beliau rela untuk meletak (jawatan), tidak,” katanya pada sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab celahan Dr Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) yang bertanya mengenai dakwaan salah laku yang dilakukan Mohd Ekhwan sehingga beliau memutuskan untuk meletak jawatan.

Mohd Ekhwan dilaporkan meletak jawatan sebagai Naib Canselor UKM berkuat kuasa 3 Februari lalu, selepas memegang jawatan itu sejak 1 Januari 2021.

Sebelum itu, tular di media sosial dakwaan terdapat unsur salah guna kuasa dan penyelewengan di UKM yang mengaitkan Mohd Ekhwan dan beliau juga membuat laporan polis berhubung perkara itu.

Tanpa mengulas dakwaan salah laku berkenaan, Zambry berkata, universiti perlu menjadi institusi akademia terunggul, tempat untuk mendapat dan menyampaikan ilmu, sama ada bagi pelajar dan ahli akademik.

Justeru katanya, amat malang jika sesebuah universiti itu menjadi kilang pengeluaran fitnah dan surat layang.

Sebagai kerajaan, menurutnya, KPT perlu bertanggungjawab memastikan pengurusan universiti dapat berjalan sebaiknya berlandaskan undang-undang dan peraturan, tanpa melakukan penganiayaan kepada mana-mana pihak.

“Sebarang tindakan yang dibuat menteri atau sesiapa saja, sama ada menteri atau lebih tinggi dalam konteks universiti, mesti berlandaskan peraturan.

“Saya tidak boleh bertindak sesuatu di luar ruang lingkup undang-undang,” katanya.

BH ONLINE