SHAH ALAM – Lima kes kusta dikesan di beberapa daerah di Selangor sehingga 20 Februari lalu.
Pengarah Jabatan Kesihatan Selangor, Dr Ummi Kalthom Shamsudin, berkata dua kes dikesan pada Januari lalu di Hulu Langat dan Sepang, manakala tiga kes lagi dikesan bulan ini di daerah Gombak, Hulu Selangor dan Kuala Langat.
“Daripada lima kes ini, tiga orang adalah warga tempatan termasuk seorang Orang Asli.
“Tiada kes melibatkan kanak-kanak dan semua pesakit telah memulakan rawatan di hospital berhampiran,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelantikan Watikah Pelantikan Ahli Lembaga Pelawat Hospital (ALPH) Selangor di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.
Beliau berkata, keadaan terkawal dan orang awam tidak perlu risau yang mana penyakit kusta boleh dirawat.
Katanya selepas mendapat rawatan hospital, individu dijangkiti kusta akan meneruskan rawatan di rumah masing-masing dan tidak perlu diisolasi.
“Bagaimanapun, pesakit ini akan dipantau secara berkala. Oleh sebab kaedah rawatan moden adalah amat berkesan, termasuk pemberian ubat profilaksis untuk mencegah jangkitan bagi golongan yang mendapat pendedahan kepada mereka yang disahkan positif, isolasi adalah tidak diperlukan.
“Sekarang kita tingkatkan kesedaran dalam kalangan pengamal perubatan untuk mereka mampu mengenalpasti gejala kusta,” katanya.
Pada 19 Februari lalu, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Aminuddin Harun memaklumkan seorang remaja perempuan Orang Asli berusia 18 tahun disahkan meninggal dunia akibat dijangkiti wabak kusta, manakala lapan lagi penduduk di Kampung Orang Asli Chergun dan Guntur, Kuala Pilah masih lagi dalam rawatan.
Beliau maklumat daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan memaklumkan pihaknya mula mengesan mengenai penularan wabak terbabit pada 2 Januari lalu, selepas sembilan penduduk Orang Asli di kawasan berkenaan dijangkiti kusta.
Daripada sembilan penduduk itu, lima dikesan dari Kampung Orang Asli Chergun manakala empat dari Kampung Guntur.
“Mangsa yang meninggal dunia di rumahnya selepas mengalami demam selama seminggu, manakala yang lain kini diarah kuarantin di rumah masing-masing,” katanya.
BH ONLINE