SHAH ALAM – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berada di tangga ke-13 sebagai dana persaraan terbesar di dunia dan kelima terbesar di Asia, setakat September 2024.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Ahmad Zulqarnain Onn, berkata jumlah saiz dana KWSP setakat September tahun lalu adalah AS$247 bilion.
“KWSP adalah antara dana pencen terbesar di dunia. Kami akan terus meningkat dan menjangkakan pertumbuhan dalam tempoh dua dekad akan datang kira-kira pada kadar yang sama – kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) antara lapan hingga sembilan peratus,” katanya pada KWSP 2024: Taklimat Dividen, di sini, hari ini.
Beliau berkata, KWSP telah mencatat peningkatan dari segi kadar simpanan purata dan median ahlinya.
Setakat 31 Disember 2024, aset pelaburan KWSP telah mencecah jumlah RM1.25 trilion, dengan 63 peratus daripadanya dilaburkan dalam pasaran domestik.
KWSP menjelaskan pelaburan domestik menjana RM37.02 bilion atau 49.7 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan, sekali gus memberi kestabilan kepada jumlah keseluruhan pendapatan pelaburan KWSP.
Aset global pula menjana pendapatan sebanyak RM37.44 bilion atau 50.3 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan.
KWSP hari ini mengumumkan kadar dividen 6.30 peratus bagi Simpanan Konvensional dengan jumlah agihan RM63.05 bilion, dan 6.30 peratus bagi Simpanan Shariah dengan jumlah agihan RM10.19 bilion.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan agihan untuk 2024 sebanyak RM73.24 bilion, memberi manfaat kepada lebih 16 juta ahli.
BH ONLINE