MUAR – Lelaki warga Nepal yang menikam rakan dengan pisau di perut hingga mangsa koma pada Januari lalu, dipenjara enam tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Hakim Sayani Mohd Nor menjatuhkan hukuman itu terhadap Anup Raut, 33, yang juga pengawal keselamatan berkuat kuasa dari tarikh ditangkap pada 19 Januari lalu selepas pertuduhan dikemukakan jurubahasa Nepal.
Mengikut pertuduhan, Anup didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap rakannya menggunakan pisau di belakang sebuah restoran, di Jalan Abdullah, di sini, pada jam 9.40 malam 18 Januari lalu.
Susulan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan.
Berdasarkan fakta kes, pada jam 9 pagi 19 Januari lalu, pengadu yang juga majikan menerima panggilan memaklumkan pekerjanya parah ditikam di perut di sebuah restoran.
Satu laporan polis dibuat pengadu dan polis kemudian menahan tertuduh di sebuah rumah di Jalan Meriam di sini, pada hari sama.
Tertuduh turut memandu arah polis ke belakang sebuah kedai dan menunjukkan pisau anggaran 28 sentimeter yang digunakan untuk menikam mangsa.
Hasil siasatan mendapati, sewaktu dalam berjalan pulang ke asrama pekerja, mangsa dilaporkan menolak tertuduh menyebabkan dia marah lalu menikam mangsa yang terpaksa menerima rawatan selama 30 hari akibat kecederaan parah dialaminya.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Othman Affan Ismail manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
BH ONLINE