Kategori: MALAYSIA

  • 2 penuntut Pondok Haji Bakri maut kereta terbabas langgar pokok

    MARAN – Dua penuntut Pondok Haji Bakri di Chenor maut selepas Perodua Myvi dinaiki bersama guru mereka terbabas di Jalan FELDA Jengka 23, di sini tengah hari tadi.

    Kejadian berlaku kira-kira jam 1.20 tengah hari ketika kereta dipandu guru pondok berusia 74 tahun itu dalam perjalanan dari pusat pengajian berkenaan ke FELDA Jengka 21, sebelum terbabas ke cerun dan melanggar pokok.

    Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai mengesahkan kejadian itu dengan seorang mangsa, Mohd Rahinuddin Ibrahim, 55, maut di lokasi kejadian dan seorang lagi, Abd Aziz Othman, 73, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) di Temerloh.

    Kedua-dua mangsa yang maut adalah penuntut di Pondok Haji Bakri.

    Sementara guru pondok yang memandu kenderaan dilapor kesakitan pada bahagian dada dan dirawat di Hospital Jengka.

    “Siasatan awal menunjukkan kemalangan disebabkan pemandu gagal mengawal kenderaan.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

    BH ONLINE

  • Polis siasat dakwaan wanita ditampar pemandu kereta

    LABUAN – Polis sedang menyiasat insiden wanita ditampar seorang pemandu lelaki selepas berlaku pertengkaran di jalan raya berhampiran Pasar Raya Besar Bataras di Jalan Tun Mustapha di sini pada Jumaat.

    Ketua Polis Labuan, Superintendan Mohd Hamizi Halim, berkata insiden membabitkan wanita berusia 28 tahun itu dipercayai berlaku pada 2 petang selepas keretanya hampir bertembung dengan kenderaan suspek yang berusia 40 tahun.

    Lelaki itu dikatakan memandu secara melulu, menyebabkan wanita berkenaan terpaksa menekan brek secara mengejut untuk mengelakkan perlanggaran.

    “Berikutan itu, berlaku pertengkaran dan suspek dikatakan menampar pipi kiri wanita berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohd Hamizi berkata kedua-duanya pergi ke balai polis pada hari kejadian tetapi tiada laporan dibuat.

    Beliau berkata mereka kembali ke balai polis pada Sabtu untuk membuat laporan dan polis membuka dua kertas siasatan terhadap suspek, pertama di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan yang kedua di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Polis menggesa orang ramai supaya tidak membuat spekulasi mengenai kejadian yang telah tular itu.

    BH ONLINE – BERNAMA

  • Malaysia gesa Majlis Keselamatan PBB tegas hentikan genosid di Gaza

    KUALA LUMPUR – Malaysia menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa bertindak tegas untuk menghentikan pertumpahan darah dan pembunuhan beramai-ramai yang sedang berlaku di Gaza.

    Wisma Putra dalam satu kenyataan turut mengutuk serangan terbaharu Israel ke atas Gaza, khususnya di Rafah yang meragut lebih 600 nyawa rakyat Palestin dalam tempoh tiga hari.

    “Pembunuhan beramai-ramai dan jenayah genosid ini membuktikan keangkuhan rejim Zionis Israel yang terus mencabuli undang-undang antarabangsa, hak asasi manusia serta prinsip kemanusiaan sejagat.

    “Serangan kejam ini bukan sahaja memburukkan krisis kemanusiaan di Gaza, malah menghancurkan usaha diplomatik ke arah perdamaian.

    “Ia sekali lagi menunjukkan niat jahat Israel untuk menghapuskan rakyat Palestin tanpa belas ihsan,” katanya, di sini hari ini.

    Menurut Wisma Putra, Israel mesti dipaksa mematuhi undang-undang antarabangsa, menghormati resolusi PBB dan kembali ke meja rundingan.

    “Malaysia akan terus memperhebat usaha diplomatik melalui kerjasama dengan OIC, Liga Arab, dan rakan antarabangsa bagi menamatkan konflik ini serta memperjuangkan penubuhan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara,” katanya.

    BH ONLINE

  • Pemandu parah bas bawa 20 pelancong China langgar belakang treler

    Kemalangan membabitkan bas dan treler di Lebuhraya ELITE pagi tadi menyebabkan pemandu bas parah dan 21 penumpang cedera ringan. BH ONLINE/Ihsan polis

    NILAI – Pemandu bas parah selepas kenderaan membawa 20 pelancong warga China terbabit kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 43 Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) di sini, pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, kejadian kira-kira jam 8 pagi itu turut menyebabkan 21 penumpang cedera ringan.

    “Kemalangan berlaku ketika bas ekspres membawa 20 penumpang warga China dan seorang jurubahasa tempatan dari arah Kuala Lumpur menghala Singapura.

    “Apabila sampai di tempat kejadian, bas terbabit tiba-tiba melanggar bahagian belakang sebuah treler yang dikatakan sedang mendaki di lorong kiri.

    “Kejadian menyebabkan pemandu parah dan penumpang bas serta pemandu lori treler mengalami kecederaan ringan. Semua mangsa menerima rawatan di Hospital Putrajaya, Hospital Cyberjaya dan Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban,” katanya.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    BH ONLINE

  • Dua beradik maut dalam perjalanan ke sekolah

    KLUANG – Dua beradik maut selepas motosikal ditunggang terlanggar lubang di Jalan Sengkang-Felda Inas-Bandar Tenggara dalam perjalanan ke sekolah, pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, berkata, mangsa dikenal pasti sebagai Norhazim Kamaruzaman, 17, dan adiknya yang membonceng, Nur Alif Ikhwan Kamaruzaman, 16.

    Bahrin berkata, kedua-dua mangsa yang cedera parah di kepala dan badan, meninggal dunia di tempat kejadian.

    “Pada jam 8.20 pagi, polis menerima makluman daripada orang awam berkaitan kemalangan itu.

    “Siasatan awal mendapati, motosikal ditunggang mangsa dari arah Felda Inas menghala ke bandar Tenggara.

    “Motosikal ditunggang dua beradik itu itu dipercayai melanggar lubang jalan lalu terbabas, menyebabkan mereka maut di lokasi kejadian.

    “Mayat dihantar ke Unit Perubatan Forensik Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ )1987.

    BH ONLINE

  • Buruh dipenjara 33 tahun, 20 sebatan kerana rogol penjawat awam

    PUTRAJAYA – Seorang buruh yang mengaku bersalah kerana merogol seorang penjawat awam dua kali dan menceroboh rumah mangsa, dijatuhkan hukuman penjara 33 tahun dengan 20 sebatan.

    Panel Hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Hakim, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Hassan Ahmad untuk menjalani hukuman penjara 20 tahun dan 10 tahun yang dikenakan terhadapnya bagi kesalahan merogol, secara serentak.

    Beliau berkata, kesalahan rogol itu dilakukan secara berasingan dan oleh itu hukuman penjara mesti dijalani secara berasingan.

    “Anda bernasib baik kerana pihak pendakwaan tidak mengemukakan rayuan balas, kerana hukuman maksimum bagi kesalahan ini adalah lebih berat. Fakta kes menunjukkan perbuatan itu dilakukan dalam bulan Ramadan dan tindakan anda kejam,” katanya ketika mengekalkan hukuman penjara dan sebatan dijatuhkan Mahkamah Sesyen, yang kemudiannya disahkan Mahkamah Tinggi.

    Selain hukuman penjara, Mahkamah Rayuan juga mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen mengenakan 20 sebatan terhadap Hassan.

    Ahmad Zaidi bersidang bersama Hakim, Datuk Azman Abdullah dan Hakim, Datuk Noorin Badaruddin.

    Hassan mengemukakan rayuan agar hukuman penjara 20 tahun bagi kesalahan rogol pertama dijalankan secara serentak dengan hukuman 10 tahun bagi kesalahan rogol kedua, akan mengurangkan tempoh hukuman penjaranya kepada 20 tahun.

    Namun, lelaki itu tidak merayu terhadap hukuman penjara tiga tahun dikenakan ke atasnya kerana menceroboh apartmen mangsa.

    Lelaki berusia 44 tahun itu mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen pada 16 Ogos 2023 atas dua pertuduhan merogol seorang wanita berusia 40 tahun di sebuah perumahan kerajaan di Ipoh, Perak.

    Kes pertama berlaku antara jam 10 malam pada 17 April 2023 hingga 1.47 pagi keesokan harinya, manakala kesalahan kedua berlaku antara jam 5.30 pagi hingga 6.30 pagi pada 18 April 2023 di lokasi sama.

    Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan 10 sebatan bagi pertuduhan rogol pertama dan 10 tahun penjara serta 10 sebatan bagi pertuduhan rogol kedua. Mahkamah memerintahkan hukuman 10 tahun itu dijalani secara berasingan selepas Hassan selesai menjalani hukuman 20 tahun.

    Bagi pertuduhan menceroboh, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun juga secara berasingan selepas selesai hukuman kesalahan rogol. Rayuan Hassan terhadap hukuman penjara itu ditolak Mahkamah Tinggi pada 14 Mei 2024.

    Di Mahkamah Rayuan hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz memohon mahkamah mengekalkan hukuman dijatuhkan Mahkamah Sesyen, sambil menyifatkan jenayah tersebut sebagai keji kerana perayu (Hassan) sebelum ini pernah ke rumah mangsa untuk membaiki kabinet.

    Beliau berkata pada hari kejadian, perayu menceroboh masuk ke rumah mangsa, bersembunyi di dalam almari di bilik tidur mangsa, lalu menyerang mangsa dengan mengacukan pisau ke lehernya serta mengugut untuk membunuhnya.

    Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Teluk Intan S. Kumaresan, bagaimanapun memohon agar hukuman penjara bagi kesalahan rogol dijalankan secara serentak.

    BH ONLINE-BERNAMA

  • Doktor tidak mengaku rogol pembantu klinik

    KUALA LUMPUR – Seorang doktor di sebuah klinik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas dua pertuduhan merogol dan melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabii terhadap pembantu klinik, Sabtu lalu.

    Dr Mohd Rafi’uddin Hamidon, 35, didakwa merogol wanita berusia 21 tahun itu dalam stor sebuah klinik di Pantai Dalam di sini, antara jam 4 pagi hingga 5 pagi, 15 Mac lalu.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 375 (b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 376 (1) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

    Tertuduh juga didakwa melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa sama pada tempat, masa dan tarikh serupa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya, Nidzuwan Abd Latip, tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh dengan alasan kesalahan itu adalah serius dan tidak boleh dijamin.

    Bagaimanapun, peguam Adi Zulkarnain Zulkafli yang mewakili Dr Mohd Rafi’uddin, memohon jaminan dibenarkan dengan alasan anak guamnya menanggung isteri serta tiga anak termasuk seorang bayi yang baru lahir.

    “Pihak kami tidak membantah sekiranya syarat tambahan dikenakan terhadap tertuduh,” katanya.

    Hakim Mohd Zaki Mohd Salleh membenarkan tertuduh itu diikat jamin RM18,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah selain perlu melaporkan diri sebulan dua kali di balai polis berhampiran dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan.

    Mahkamah menetapkan 23 April ini untuk sebutan kes bagi serahan dokumen.

    BH ONLINE-BERNAMA

  • Pesara tak mengaku cabul sembilan murid perempuan

    MUAR – Seorang pesara mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas 10 pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap sembilan murid ketika mengendalikan program bengkel jet kawalan jauh, bulan lalu.

    Tertuduh, Lan Sairan, 65, membuat pengakuan tidak bersalah, sejurus semua pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim, Nariman Badruddin.

    Mengikut kesemua pertuduhan, duda yang kematian isteri itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap sembilan murid masing-masing berusia di antara sembilan hingga 12 tahun.

    Kesemua perbuatan itu dilakukan di bengkel reka bentuk teknologi dan kemahiran hidup sebuah sekolah kebangsaan dalam tanah rancangan di Kluang, di antara jam 8 pagi hingga 12 tengahari, 26 hingga 27 Februari lalu.

    Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 yang mana penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan bagi setiap pertuduhan dikenakan.

    Mengikut laporan dibuat semua mangsa, sebelum kejadian pihak sekolah mengadakan bengkel jet kawalan jauh dengan menjemput seorang tenaga pengajar berpangkat sarjan.

    Pada masa sama, sarjan terbabit membawa tertuduh ke sekolah terbabit bagi membantunya memberi tunjuk ajar kepada kesemua murid terbabit.

    Tapi malangnya, tertuduh didakwa mengambil kesempatan terhadap sebahagian besar murid perempuan yang menyertai bengkel terbabit.

    Tidak tahan dengan perbuatan itu, kesemua mangsa melaporkan kepada guru sebelum menghubungi ibu bapa masing-masing dan membuat laporan polis pada 7 Mac lalu dengan tertuduh ditahan pada keesokan hari.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Diyana Najihah Muhamed Faruzi, manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Fadly Abu Bakar.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM48,000 bagi kesemua pertuduhan dan perlu melapor diri balai polis berhampiran serta tidak mengganggu mangsa atau saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

    Kes disebut semula pada 24 April ini untuk serahan dokumen.

    BH ONLINE

  • Lelaki rentung gagal selamat diri ketika rumah terbakar

    RAUB – Seorang lelaki maut dalam kebakaran membabitkan sebuah rumah di Kampung Kuala Semantan, dekat Cheroh, di sini tengah malam tadi.

    Kejadian berlaku kira-kira jam 12 tengah malam dengan mangsa, Zahari Ibrahim, 49, yang tinggal berseorangan gagal menyelamatkan diri.

    Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Mohd Shahril Abd Rahman berkata kebakaran membabitkan sebuah rumah papan dengan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub turut dibantu BBP Lipis mengambil masa sejam untuk memadamkan kebakaran itu.

    “Mayat mangsa dibawa ke unit Forensik Hospital Raub untuk dibedah siasat.

    “Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

    BH ONLINE

  • Mayat kedua mangsa lemas Sungai Batang Mukah ditemui pagi ini

    KUCHING – Satu lagi mayat kanak-kanak mangsa lemas ketika mandi di Sungai Batang Mukah Selasa lalu, ditemukan hari ini.

    Mayat Susie Kiu, 7, ditemui jam 9.25 pagi tadi oleh penduduk kampung di pantai Kala Dana, kira-kira enam kilometer dari lokasi terakhir mangsa dilihat.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

    Pada jam 4.40 petang semalam, mayat mangsa pertama, Dexper Kiu Kuang Wei, 10, ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian.

    Dalam kejadian kira-kira jam 3.50 petang Selasa lalu, dua beradik itu dikatakan mandi di sungai terbabit berdekatan Jambatan Kuning Mukah.

    Ibu mereka cuba menyelamatkan dua anaknya, namun usaha itu tidak berjaya kerana mereka tenggelam dengan cepat akibat arus deras.

    Operasi SAR diaktifkan sejurus menerima laporan kejadian itu jam 4.23 petang Selasa lalu membabitkan empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah.

    Pencarian turut disertai 12 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), tiga anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), empat anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), tiga kakitangan Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) serta 36 penduduk kampung.

    BH ONLINE

  • Johor Bahru, Kulai, Pontian mula banjir – 10 PPS dibuka

    JOHOR BAHRU – Banjir sudah mula melanda negeri ini susulan hujan berterusan sejak semalam dan setakat jam 8 pagi ini, tiga daerah iaitu Johor Bahru, Kulai dan Pontian mencatatkan mangsa banjir yang terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

    Setakat pagi ini, sebanyak 10 PPS sudah dibuka dengan enam di Johor Bahru serta masing-masing dua di Kulai dan Pontian, berbanding hanya tiga PPS dibuka pada 9 malam tadi.

    Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata setakat ini terdapat 893 mangsa terdiri daripada 257 keluarga ditempatkan di semua PPS yang dibuka.

    “Johor Bahru setakat ini yang teruk terjejas dengan 567 mangsa daripada 165 keluarga dipindahkan ke PPS, diikuti Kulai dengan merekodkan 269 mangsa daripada 76 keluarga.

    “Pontian mencatatkan 57 mangsa daripada 16 keluarga dari Kampung Paya Embun, Kampung Pak Karib, Kampung Melayu Raya, Kampung Seri Meranti dan Kampung Parit Sikom yang kini dipindahkan ke PPS,” katanya dalam kenyataan.

    Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sudah mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap buruk di enam daerah di negeri ini.

    Amaran hujan lebat berterusan itu membabitkan daerah Johor Bahru, Kluang, Mersing, Pontian, Kulai dan Kota Tinggi yang dijangka berlaku hingga esok.

    Amaran hujan berterusan tahap waspada pula dikeluarkan membabitkan daerah Tangkak, Segamat, Muar dan Batu Pajat, juga dijangka hingga esok.

    Sungai Sayong yang juga sub lembangan Sungai Johor di Kulai merekodkan bacaan melepasi paras bahaya iaitu 20.85 meter, manakala dua sub lembangan Sungai Skudai di Johor Bahru turut merekodkan bacaan melepasi paras bahaya masing-masing 1.01 meter dan 4.24 meter.

    BH ONLINE

  • Tampar pemuda ‘tak puasa’: Pesara kerajaan mengaku tak salah

    JOHOR BAHRU – Seorang pesara kerajaan didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap seorang pemuda yang dikatakan ‘tidak berpuasa’ Ahad lalu.

    Bagaimanapun, Abdul Razak Ismail, 65, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan pindaan dibacakan di hadapan Majistret A Shaarmini.

    Abdul Razak didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Elijah Ling Zhao Zhong, 21.

    Kesalahan didakwa dilakukan di tingkat satu sebuah pusat beli belah di Tampoi, di sini, kira-kira jam 6.15 petang, Ahad lalu.

    Dia dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Afiqah Musa dan Nur Fatihah Mohd Nizam, manakala Abd Razak diwakili peguam, Mohd Salleh Togimin.

    Nor Afiqah kemudian menawarkan jaminan RM8,000 terhadap tertuduh sementara menunggu kes disebut semula.

    Bagaimanapun peguam tertuduh ketika berhujah berkata, jaminan RM8,000 adalah terlalu tinggi buat Abdul Razak yang juga pesara kerajaan yang perlu menanggung tiga anak termasuk seorang yang masih menuntut di institusi pengajian tinggi.

    “Dimohon tawaran jaminan rendah diberikan kerana tawaran jaminan RM8,000 itu seolah-olah hukuman awal terhadap OKS, walaupun dia belum disabitkan bersalah,” hujahnya.

    Majistret kemudian memerintahkan OKS dijamin RM2,000 dengan seorang penjamin.

    Sebutan semula kes ditetapkan 29 April depan untuk serahan dokumen.

    Terdahulu pada sebelah pagi, Mahkamah Majistret melepas tanpa membebaskan warga emas itu, dengan Majistret A Shaarmini membuat keputusan berkenaan selepas Timbalan Pendakwa Raya memaklumkan mendapat arahan untuk merujuk semula kertas siasatan kes ke Jabatan Peguam Negara (AGC) di Putrajaya.

    Ahad lalu, tular video di media sosial yang memaparkan seorang pemuda ditegur lelaki yang juga warga emas berkenaan kerana didakwa makan secara terbuka pada bulan Ramadan di sebuah pusat beli-belah di sini.

    Berlaku ketegangan apabila warga emas berkenaan meminta pemuda itu menunjukkan kad pengenalan bagi membuktikan dia bukan beragama Islam.

    Pemuda itu yang enggan menunjukkan kad pengenalan kemudian mendakwa dimarahi warga emas berkenaan yang kemudian turut menamparnya beberapa kali.

    BH ONLINE

  • 3 maut, dua cedera kemalangan empat kenderaan

    PENDANG – Tiga maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah pikap, Proton Saga dan dua lori di Kilometer 58.4 Lebuhraya Utara Selatan, awal pagi tadi.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pendang, Penolong Penguasa Bomba Zulkifli Manaf berkata pihaknya menerima panggilan jam 3.24 pagi.

    “Tiga mangsa dalam kereta Proton Saga tersepit dan meninggal dunia manakala dua lagi mangsa dalam pikap cedera.

    “Mangsa yang cedera dihantar ke hospital dengan ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) manakala mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada polis,” katanya sambil menambah operasi tamat jam 5.02 pagi.

    BH ONLINE

  • Cubaan 15 ‘pemain’ kriket Bangladesh masuk Malaysia gagal

    KUALA LUMPUR – Seramai 15 ‘pemain’ kriket dari Bangladesh ditahan selepas mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, hari ini.

    Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) dalam kenyataan berkata, kumpulan terbabit lengkap berpakaian seragam pasukan dipercayai untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

    “Kumpulan itu mengemukakan surat penganjuran kejohanan kriket yang kononnya mendapat sokongan Persatuan Kriket Pulau Pinang, namun hasil semakan mendapati dokumen itu palsu.

    “Semakan mendapati tiada sebarang kejohanan kriket dijadualkan berlangsung seperti dipaparkan pada surat berkenaan iaitu pada 21 hingga 23 Mac,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurutnya, pasukan berkenaan cuba menghubungi seorang individu yang didakwa sebagai penaja dan penjamin pasukan.

    Bagaimanapun, setibanya individu berkenaan menafikan dirinya sebagai penaja pasukan dan mendakwa tiada sebarang maklumat berkenaan kejohanan kriket terbabit.

    “Pemeriksaan lanjut dijalankan mendapati tiada bukti kukuh mereka adalah pemain kriket.

    “Berkemungkinan mereka adalah sebahagian dari sindiket yang cuba menyamar sebagai pemain kriket untuk memasuki Malaysia atas tujuan lain.

    “AKPS memutuskan agar kumpulan ini tidak dibenarkan mendarat (NTL) dan tindakan lanjut akan diambil mengikut peraturan imigresen yang berkuat kuasa,” katanya.

    BH ONLINE

  • Buruh tak mengaku rogol anak tiri

    MUAR – Seorang buruh ladang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan merogol anak perempuan tirinya di sebuah rumah kongsi ladang sawit, lima tahun lalu.

    Tertuduh berusia 41 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dikemukakan jurubahasa di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

    Mengikut pertuduhan, bapa kepada empat anak itu didakwa merogol anak tirinya yang ketika itu berusia 15 tahun di sebuah rumah kongsi di Segamat, jam 11 malam, Jun 2020.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 30 tahun dan juga sebatan tidak kurang 10 kali.

    Berdasarkan laporan dibuat, mangsa mendakwa dirogol ketika dia ereka tinggal bersama ibu serta adik beradik lain tinggal di rumah kongsi terbabit.

    Siasatan awal polis mendapati, mangsa dirogol dua kali sebulan, namun tidak menceritakan kejadian itu kepada sesiapa kerana bimbang diapa-apakan.

    Mangsa juga dilaporkan mahu keluar dari rumah kongsi itu tetapi dihalang ibunya kerana ketika itu masih bawah umur.

    Sehinggalah pada awal bulan ini, rahsia dipendam mangsa selama lebih empat tahun akhirnya terungkai apabila menceritakan kejadian itu kepada ibu saudaranya ketika datang ke rumah neneknya di Skudai.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Diyana Najihah Muhamed Fauzi manakala tertuduh diwakili peguam, Safiah A Aziz.

    Terdahulu pihak pendakwaan tidak menawarkan ikat jamin terhadap tertuduh serta memohon mahkamah menetapkan syarat tambahan.

    Selepas meneliti hujahan pendakwaan dan pembelaan, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM18,000 dengan dua penjamin.

    Tertuduh kemudian membayar ikat jamin terbabit.

    Selain itu, mahkamah turut memerintahkan supaya melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali serta tidak boleh mengganggu atau berhubung dengan saksi pendakwaan terutama mangsa.

    Kes disebut semula pada 30 April ini untuk serahan dokumen.

    BH ONLINE

  • Anggota JPJ beri rasuah dipenjara setahun, denda RM80,000

    MELAKA – Seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dijatuhi hukuman penjara setahun dan denda RM80,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini, atas lapan pertuduhan memberi rasuah kepada rakan lain untuk tidak bertindak terhadap pengusaha lori lebih muatan, enam tahun lalu.

    Che Fadzlie Izwan Che Johari, 38, dipanggil membela diri pada 21 Oktober tahun lalu atas lapan pertuduhan dan pendakwaan menggunakan elemen anggapan (sesuatu suapan diterima secara rasuah) mengikut Seksyen 50 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang terpakai bagi pertuduhan Seksyen 16(b)(B) akta sama.

    Hakim Elesabet Paya Wan keputusan itu selepas meneliti keterangan saksi pembelaan, pendakwaan dan hujah kedua-dua pihak.

    “Enam saksi pembelaan memberi keterangan termasuk tertuduh dan selepas meneliti semuanya, mahkamah mendapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dan mematahkan ‘anggapan’, sebaliknya pendakwaan membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

    “Oleh itu, tertuduh didapati bersalah atas lapan pertuduhan dan disabitkan,” katanya ketika memberikan penghakiman lisan di akhir kes pembelaan, hari ini.

    Bagi setiap pertuduhan, mahkamah menjatuhkan hukuman satu tahun penjara dan denda RM10,000 atau penjara tiga bulan jika gagal membayar denda.

    Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bermula serentak dari tarikh keputusan manakala denda keseluruhan berjumlah RM80,000.

    Che Fadzlie Izwan didakwa memberi suapan antara RM400 hingga RM900 kepada tiga individu di JPJ Melaka sebagai upah tidak mengambil tindakan terhadap pengusaha lori yang melakukan kesalahan melebihi muatan.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di JPJ Melaka Bukit Katil termasuk di parkir dan Bahagian Penguatkuasaan antara 1 Januari 2019 hingga 31 Januari 2020.

    Dia dituduh mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

    Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muhammad Asraf Mohamed Tahir, memohon hukuman berat dikenakan sebagai peringatan dan amaran kepada tertuduh dan masyarakat bahawa kesalahan rasuah adalah serius.

    Terdahulu, peguam Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh dan Nuradzlyn Sharmine Azrin Sham merayu hukuman ringan atas beberapa alasan termasuk ia kesalahan pertama anak guam mereka yang kini menerima separuh gaji dan melakukan pelbagai kerja termasuk mekanik bagi menyara isteri dan tiga anak masih bersekolah.

    Peguam turut memohon pelaksanaan hukuman ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan di mahkamah tinggi, namun dibantah Mohamad Asyraf yang mencadangkan jaminan dinaikkan daripada RM12,000 kepada RM22,000 jika mahkamah mahu menggunakan budi bicara.

    Mahkamah membenarkan penangguhan hukuman dengan syarat pembelaan memfailkan notis rayuan hari ini dan jumlah jaminan dinaikkan kepada RM22,000.

    BH ONLINE

  • Remaja lelaki direman 6 hari bantu siasatan kes tikam penuntut wanita

    SUNGAI PETANI – Penuntut lelaki direman enam hari untuk membantu siasatan berhubung kes mencederakan seorang penuntut wanita sebuah institut pengajian tinggi (IPT) di sini, semalam.

    Perintah reman dikeluarkan Majistret Mahkamah Sungai Petani, M Kalairasi terhadap suspek yang berusia 19 tahun itu di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) bermula hari ini sehingga 23 Mac ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Kesiksaan.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail, berkata suspek turut mengalami kecederaan di tangan kanan akibat tertikam pisau ketika bergelut dengan mangsa.

    Katanya, suspek kini ditahan di wad dengan pengawasan polis dan akan di bawa ke lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda selepas dibenarkan keluar dari hospital.

    “Hasil siasatan polis mendapati mangsa berusia 19 tahun itu mengalami kecederaan akibat tikaman di beberapa bahagian belakang badan dan leher dan pada hari ini dilaporkan stabil dan sedar.

    “Mangsa sudah sedar selepas menerima rawatan di hospital dan dalam keadaan stabil.

    “Kita juga sudah merakam keterangan suspek dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” katanya.

    Selain itu, Wan Azharuddin berkata, polis turut akan merekod keterangan daripada mangsa selepas mangsa stabil dan beberapa saksi di tempat kejadian untuk polis melengkapkan siasatan,” katanya.

    Media semalam melaporkan seorang penuntut wanita di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di daerah ini cedera parah dipercayai ditikam seorang penuntut lelaki kerana pertengkaran dan tidak berpuas hati dalam isu peribadi di hadapan sebuah tandas di universiti berkenaan.

    Mangsa dikatakan dihampiri oleh suspek yang juga bekas teman lelakinya sebelum menikam belakang badan mangsa berulang kali menyebabkan mangsa rebah.

    BH ONLINE

  • Dua beranak rentung treler dipandu bapa rempuh belakang treler muatan kapas

    IPOH – Dua beranak rentung selepas treler sarat dengan muatan pasir dinaiki mereka merempuh belakang sebuah lagi treler yang sarat dengan muatan kapas sebelum terbakar dalam kemalangan di Kilometer 331.8 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, pagi tadi.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata pusat operasi menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan pada 7.46 pagi.

    Beliau berkata sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bidor dihantar ke lokasi kejadian dan tiba pada 7.57 pagi.

    “Komander operasi melaporkan bahawa kemalangan membabitkan treler muatan pasir yang melanggar bahagian belakang treler muatan kapas. Pemandu lelaki treler muatan pasir yang berusia lingkungan 40-an, didapati tersepit dalam kenderaan yang rentung.

    “Seorang lagi mangsa iaitu anak lelaki kepada pemandu, berusia lingkungan 20-an turut ditemui rentung dan berjaya dikeluarkan oleh pasukan penyelamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Sabarodzi berkata mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

    BH ONLINE

  • Isteri orang dicekup khalwat dengan rakan lelaki

    KULIM – Wanita berstatus isteri orang dicekup berkhalwat dengan rakan lelakinya di sebuah hotel bajet, di Lunas, dekat sini, awal pagi tadi.

    Wanita berusia 33 tahun dan mempunyai tiga anak itu dipercayai sanggup datang dari Pahang untuk bertemu dengan kekasihnya yang berusia 30 tahun itu di sini.

    Dia yang bekerja di sebuah kedai makan di Jengka, Pahang itu mendakwa mengenali teman lelakinya yang masih bujang itu kira-kira tujuh tahun lalu selepas diperkenalkan oleh sepupunya.

    Bagaimanapun, hubungan mereka terputus, selepas wanita itu berkahwin, namun berpaut kembali baru-baru ini selepas sepupu wanita itu memberi nombor telefon lelaki berkenaan.

    Lelaki itu bekerja sebagai pengawal keselamatan di Kulim Hi Tech, dekat sini.

    Namun, suami wanita terbabit berusia 30-an yang datang bersama ahli keluarganya berjaya mengesan keberadaan isterinya di hotel bajet berkenaan, dan menghubungi penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK).

    Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Sharifuddin Mat Saad berkata, tangkapan oleh pihaknya dilakukan pada 3.40 pagi hari ini.

    Beliau berkata, wanita itu memberi alasan sudah lama tidak bertemu teman lelakinya itu dan mempunyai masalah dengan suaminya.

    “Ketika serbuan, lelaki itu hanya memakai seluar denim tanpa baju, manakala wanita itu berpakaian lengkap tanpa tudung.

    “Mereka gagal menunjukkan sebarang dokumen mempunyai hubungan suami isteri atau mahram menyebabkan mereka ditahan kerana disyaki berkhalwat,” katanya.

    Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 25 (a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah (EKJSK) 2014 kerana disyaki berkhalwat.

    BH ONLINE

  • Wanita maut rempuh lori berhenti kerana kehabisan minyak

    MUAR – Wanita maut selepas merempuh sebuah lori berhenti di lorong kecemasan selepas dikatakan kehabisan minyak di Kilometer 136.8, Lebuhraya Utara-Selatan (arah utara) petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata mangsa yang menunggang motosikal dilaporkan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian dalam kemalangan pada jam 6.30 petang.

    Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan orang awam berhubung kemalangan membabitkan lori dan motosikal.

    Beliau berkata, siasatan awal mendapati lori dipandu lelaki berusia 34 tahun berhenti di lorong kecemasan selepas kehabisan minyak.

    “Selepas pemandunya meletakkan kon keselamatan serta menghubungi pihak Plus bagi mendapatkan bantuan. Sebuah motosikal ditunggang wanita berusia 22 tahun datang dari arah belakang lalu merempuh bucu kanan lori.

    “Akibatnya, wanita terbabit parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori tidak cedera,” katanya dalam kenyataan.

    Katanya lagi, orang ramai atau saksi kejadian diminta menghubungi trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

    “Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

    BH ONLINE