Tag: babi

  • Penternak babi Pulau Pinang rugi RM30 juta

    BUKIT MERTAJAM — Seramai 20 penternak babi di Pulau Pinang mendakwa kerugian hampir RM30 juta keseluruhan apabila ternakan mereka terpaksa dilupuskan selepas dijangkiti virus Demam Babi Afrika (ASF), tahun lalu.

    Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri, Dr Saira Banu Mohamed Rejab, berkata semua penternak terbabit sudah menerima bayaran pampasan, sekali gus meringankan beban mereka.

    Katanya, JPV negeri perlu membuat pelupusan selain meningkatkan penguatkuasaan bagi memastikan ASF tidak merebak ke ladang lain.

    “ASF mula dikesan pada 3 Januari 2023 dan kes terakhir yang direkodkan adalah pada 15 Mac tahun lalu. Sepanjang tempoh itu, 27,344 babi dianggarkan bernilai lebih RM29 juta dilupuskan.

    “Semua ternakan itu membabitkan 20 penternak di daerah Seberang Perai Selatan dan Seberang Perai Tengah yang sudah menerima bayaran pampasan sekitar RM6.026 juta bagi membantu meringankan beban mereka,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung Laporan Pencapaian Penguatkuasaan di Bawah Perundangan JPV Pulau Pinang bagi 2023 di Pejabat JPV negeri di Bukit Tengah, di sini hari ini.

    Saira Banu berkata, ASF di Pulau Pinang tidak berlarutan terlalu lama berikutan kesedaran penternak dan penguatkuasaan JPV dalam membendung virus itu daripada merebak.

    “Ketika ASF melanda, penternak mula mengetatkan biosekuriti ladang mereka dan pada masa sama, JPV pula melakukan penguatkuasaan dengan membuat kawalan pemindahan babi ke rumah sembelihan hanya untuk yang ada permit.

    “Bagi mereka yang didapati melakukan pemindahan tanpa kebenaran, tindakan rampasan diambil termasuk melucut hak di bawah bahagian perundangan,” katanya.

    Jelasnya, selepas ASF berakhir, tiada lagi kes dicatatkan sehingga hari ini, namun JPV sentiasa melakukan pemantauan kerana bimbang ia berulang, terutama menjelang musim perayaan Tahun Baharu Cina.

    Dalam pada itu, Saira Banu berkata, tahun lalu, sebanyak tujuh kes pemindahan tanpa kebenaran dicatatkan, membabitkan 23 lembu dan kerbau serta 287 babi dengan penternak yang bersalah didenda RM26,000, manakala nilai dilucuthak RM100,600.

    Tegasnya, sepanjang tahun lalu juga, sebanyak 34 kes dengan nilai kompaun berjumlah RM270,000 dikeluarkan terhadap penternak yang melanggar Enakmen Penternakan Babi 2020.

    “Enakmen Penternakan Babi 2020 mula dikuatkuasakan pada 2021 dalam memastikan semua penternak menaiktaraf sistem kandang terbuka kepada tertutup,” katanya.

    BH ONLINE