Tag: kontrak

  • Tangguh dulu lantikan pegawai kontrak baharu kerajaan – Radzi Jidin

    KUALA LUMPUR — Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin mencadangkan kerajaan menangguhkan pelaksanaan pengambilan pegawai baharu kerajaan secara kontrak yang akan bermula esok.

    Beliau berkata, penangguhan itu perlu dibuat sehingga kerangka besar pengambilan pegawai baharu kerajaan bagi semua skim perkhidmatan oleh semua pihak berkuasa melantik dimuktamadkan sepenuhnya dengan mengambil kira pandangan semua pemegang taruh.

    “Sedarkah kerajaan, esok adalah 1 Februari 2024, tarikh bermulanya lantikan pegawai baharu kerajaan dibuat secara kontrak?

    “Tapi, di mana kerangka besar berkaitan pelantikan pegawai baharu kerajaan? Terlalu banyak persoalan berkaitan dengan perkara ini yang telah disentuh oleh pelbagai pihak, namun tidak diendahkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilapor menyatakan Kabinet bersetuju supaya perjawatan bagi penjawat awam baharu kerajaan berstatus tetap selepas ini adalah tidak berpencen.

    Ahmad Zahid berkata, satu pengumuman mengenai tempoh dan tarikh pelaksanaannya akan dibuat Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA).

    Mengulas lanjut, Radzi yang juga bekas Menteri Kanan Pendidikan turut menyifatkan tindakan terburu-buru kerajaan melaksanakan pengambilan pegawai baharu secara kontrak tanpa satu perancangan teliti dan menyeluruh bagi keseluruhan sistem perkhidmatan awam sebagai satu tindakan tidak bertanggungjawab.

    “Kita boleh lihat dengan jelas dan nyata betapa bercelaru dan berserabutnya proses penggubalan dasar kerajaan hari ini. Mereka membuat pengumuman demi pengumuman tanpa mempunyai satu kerangka besar pelaksanaannya.

    “Sebelum sebarang langkah diambil, kerajaan seharusnya telah mempunyai satu kerangka yang komprehensif dan pendekatan pelaksanaan yang jelas.

    “Ini juga dapat memberi lebih keadilan kepada rakyat Malaysia semasa membuat pilihan sama ada untuk berkhidmat sebagai penjawat awam atau sebaliknya, dengan mengambil kira faedah semasa dan selepas perkhidmatan,” katanya.

    BH ONLINE