KOTA BHARU — Pelajar lelaki berusia 17 tahun didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan merogol dan meliwat kekasihnya pada September 2023 dan Mac lalu.
Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ahmad Syafiq Aizat Nazri.
Tertuduh didakwa merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun ketika itu di sebuah rumah kosong di Kampung Terusan Limbat, di sini, antara jam 8 malam hingga 10 malam 29 September tahun lalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebat.
Tertuduh juga didakwa meliwat mangsa yang sama dan di lokasi yang sama pada jam 2 petang 9 Mac lalu.
Perbuatan itu didakwa mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 (akta 792) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta yang sama yang memperuntukkan penjara tidak lebih 20 tahun dan sebat.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Aiman Syahmi Yazid, manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nik Nazriani Nik Ab Rahman.
Terdahulu, Muhammad Aiman Syahmi mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM7,000 kepada tertuduh kerana kes membabitkan mangsa kanak-kanak.
Bagaimanapun, Nik Nazriani memohon jumlah jaminan yang rendah memandangkan tertuduh masih belajar dan di bawah umur.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu mangsa dan menetapkan sebutan semula kes pada 7 Ogos ini.
BH ONLINE