KUCHING – Seorang lelaki warga emas ditemui lemas dalam keretanya yang terjatuh ke Sungai Sarawak berdekatan Jambatan Tun Abang Muhammad Salahuddin, di sini, hari ini.
Mayat mangsa, Lim Boon Hua, 62, ditemui terperangkap dalam kereta oleh anggota penyelam Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) jam 9.32 pagi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, mayat dikeluarkan dan dibawa ke permukaan jam 9.59 pagi sebelum dibawa ke Jeti Jabatan Laut dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Anggota PPDA menyelam semula pada jam 10.05 pagi untuk memastikan tiada mangsa lain dalam kereta, sebelum khidmat kren digunakan untuk menaikkan kenderaan itu ke permukaan,” katanya.
Berdasarkan maklumat saksi, kenderaan dilihat berada di kawasan itu kira-kira jam 10 malam.
Kenderaan yang diletakkan menghala ke sungai itu dilihat tiba-tiba bergerak sebelum terjunam ke dalam sungai.
BH ONLINE