Rogol teman wanita dalam rumah, pemuda diperintah bela diri

MUAR – Mahkamah Sesyen hari ini memerintahkan seorang lelaki yang dituduh merogol teman wanitanya di Segamat, tiga tahun lalu membela diri.

Hakim Sayani Mohd Nor membuat keputusan itu selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Diyana Najiha Muhamed Fauzi berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Muhamad Amir Ismail, 23.

Ketika membaca keputusan di akhir pendakwaan, Sayani memberitahu keputusan itu dibuat selepas mengambil kira dan meneliti segala keterangan saksi pendakwaan serta eksibit dikemukakan di mahkamah.

“Ia juga mengambil kira keterangan bertulis daripada pihak pendakwaan dan juga pembelaan sepanjang perbicaraan kes ini berlangsung.

“Justeru, pada tahap penilaian secara maksimum, mahkamah memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan terdapat prima facie dalam kes mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan,” hujahnya.

Serentak dengan keputusan itu, mahkamah memberi tiga pilihan kepada tertuduh sama ada membuat akuan bersumpah dari kandang saksi, akuan tidak bersumpah atau memilih untuk berdiam diri.

Peguam, Syafie Naim daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) kemudiannya memberitahu anak guamnya memilih untuk akuan bersumpah dari kandang saksi serta akan mengemukakan tiga saksi di peringkat pembelaan pada 14 Julai ini.

Tertuduh yang masih bujang didakwa merogol teman wanita berusia 16 tahun ketika kejadian di rumahnya di Segamat, 11 malam 2 Jun 2022.

Seksyen itu memperuntukkan penjara sehingga dua puluh tahun dan juga sebatan, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan laporan, tertuduh keluar bersama rakan termasuk mangsa sebelum membawanya pulang ke rumah.

Tertuduh kemudiannya melakukan perbuatan itu sebelum menghantarnya pulang ke rumah, laporan dibuat di Balai Polis Jementah dengan lelaki itu ditahan 29 Jun tahun sama.

Ketika ini, Asran menjalani tahanan sementara di Pusat Koreksional Muar selepas gagal melunaskan ikat jamin RM10,000 terhadapnya.

BH ONLINE

Support MyReporter