PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini diberitahu bahawa Datin Seri Rosmah Mansor tidak mendapat perbicaraan adil dalam kes rasuah berkaitan projek solar hibrid untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion yang dihadapi isteri bekas perdana menteri itu.
Peguam Rosmah, Datuk Jagjit Singh dalam hujahannya di Mahkamah Rayuan hari ini, berkata Bahagian Penyelidikan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dipercayai menerima arahan khusus untuk menyediakan deraf penghakiman bagi kes rasuah berkenaan.
Jagjit berkata, berkata penyediaan deraf penghakiman berkenaan tidak akan berlaku tanpa arahan atau panduan tertentu daripada pihak yang berkepentingan.
Katanya, Bahagian Penyelidikan tidak akan bertindak sendiri tanpa sebarang arahan atau panduan.
“Sebelum kami membuat kesimpulan, kami menyatakan bahawa dengan mewakilkan kepada pihak ketiga iaitu Bahagian Penyelidikan untuk menyediakan penghakiman bertulis atau pendapat, sama ada secara deraf atau keputusan muktamad, adalah tidak boleh diterima, dan sangat prejudis.
“Jelas sekali terdapat bahaya yang nyata berat sebelah dan ketidakadilan terhadap perayu melalui cara permohonan (untuk menggugurkan hakim) itu didengari dan diputuskan.
“Tidak perlu dikatakan lagi, perayu tidak mendapat perbicaraan yang adil apabila hak perlembagaan dan kebebasannya telah dicabuli, yang mengakibatkan kegagalan keadilan yang serius terhadapnya,” katanya.
Jagjit berkata demikian pada prosiding rayuan anak guamnya untuk menggugurkan Hakim Datuk Mohamed Zaini Mazlan (kini Hakim Mahkamah Rayuan) daripada mendengar atau membuat keputusan dalam kes rasuah berkenaan.
Pada 1 September 2022, Mohamed Zaini ketika itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, mensabitkan Rosmah atas tiga pertuduhan rasuah dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta.
Sebelum keputusan itu diumumkan, Rosmah, 73, mengemukakan permohonan saat akhir untuk membatalkan penghakiman berkenaan atas alasan wujud kebocoran deraf penghakiman yang didakwa disediakan oleh pihak ketiga dan tersebar secara meluas beberapa hari lebih awal.
Namun, permohonan itu ditolak oleh Mohamed Zaini pada permulaan prosiding pada hari sama.
Dalam hujahannya hari ini, Jagjit menegaskan deraf penghakiman berkenaan jelas ditujukan untuk kegunaan Mohamed Zaini dan menyifatkan tindakan tersebut sebagai sesuatu yang tidak wajar.
“Tindakan meminta pegawai unit penyelidikan menyediakan deraf penghakiman adalah satu tindakan yang tidak sepatutnya berlaku dan tidak boleh diterima.
Apabila dilihat secara keseluruhan, ia menimbulkan bahaya sebenar berlakunya berat sebelah,” katanya.
Prosiding rayuan itu bersambung pada 25 Jun ini di hadapan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Azman Abdullah dan Hakim Datuk Noorin Badaruddin.
Rosmah didakwa meminta dan menerima suapan daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holding iaitu Saidi Abang Samsudin.
Rasuah itu diterima melalui bekas pegawai khas suaminya Datuk Seri Najib Razak, iaitu Datuk Rizal Mansor sebagai ganjaran kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.
BH ONLINE