KUALA LUMPUR – Suami kepada Datin Seri Pamela Ling Yueh, wanita yang dilaporkan hilang secara misteri pada 9 April lalu, ditahan polis awal pagi tadi bagi membantu siasatan kes penculikan berprofil tinggi itu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, mengesahkan lelaki berusia lingkungan 50-an itu ditahan di ibu kota dan permohonan reman ke atasnya difailkan di Mahkamah Putrajaya.
“Suspek disahkan ditangkap di kawasan Kuala Lumpur pada awal pagi tadi. Permohonan reman dibuat di Mahkamah Putrajaya, namun ditolak.
“Buat masa ini, individu terbabit masih dalam tahanan polis dan sedang disoal siasat bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan ringkas, hari ini.
Pada 17 April lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, memaklumkan siasatan turut menjurus kepada kemungkinan suami mangsa antara individu yang terbabit dalam kes berkenaan.
“Kita sedang menyiasat sama ada suami mangsa terbabit secara langsung atau sebaliknya. Siasatan ketika ini masih berjalan dan kita tidak menolak sebarang kemungkinan,” kata Razarudin.
Pamela, 52, dilaporkan hilang selepas menaiki sebuah kereta e-hailing dari kediamannya di Kota Damansara ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya pada pagi 9 April lalu.
Pemandu e-hailing terbabit kemudian membuat laporan polis, mendakwa wanita itu ‘dibawa pergi’ oleh tiga individu didakwa menyamar sebagai anggota polis sejurus kenderaan mereka tiba berhampiran bangunan SPRM.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta pengecaman nombor pendaftaran kenderaan yang digunakan penculik mendedahkan kenderaan itu adalah palsu dan digunakan secara terancang, dipercayai untuk mengaburi siasatan.
Pamela yang juga pengarah beberapa syarikat berkaitan tanah dan hartanah, dikatakan mempunyai maklumat penting berkait transaksi besar yang sedang disiasat pihak berkuasa. Sehingga kini, mangsa masih belum ditemui.
BH ONLINE