5 punca kemalangan jalan raya

Kemalangan jalan raya berlaku di mana-mana, sama ada di kota mahupun desa, tanpa mengira usia, berjawatan atau tiada apa-apa jawatan, orang besar atau orang kecil dan tidak mengira jantina mahupun beza warna kulit. Di sini disertakan beberapa perkara yang menjadi punca kepada kemalangan:

1. LAJU

    Sesetengah orang, makin laju kenderaan dipandunya, berasa makin seronok. Kata-kata yang selalu kedengaran ialah cepat sampai ke tempat ditujui. Jika di lebuh raya boleh dikatakan sentiasa berada di lorong kanan, jauh meninggalkan yang lain di belakang. Meter pada papan pemuka contohnya cecah 200 km/j. Tetapi pernahkah anda terfikir, jika ada apa-apa yang tidak diingini di hadapan, sempatkah anda membrek dalam keadaan dan pada jarak selamat?

    2. EGO

      “Jalanlah!” laung seorang pemandu dengan suara nyaring dari tingkap keretanya kepada penunggang motosikal yang membunyikan hon kepadanya kerana menghimpit ke lorong kanan sekali gus menutup laluan, setelah berhenti di lorong kiri.

      Dia membalas dengan kata-kata selepas mendengar bunyi hon kepadanya. Sepatutnya dia berterima kasih, kerana dengan bunyi hon itu dapat memberikan tindak balas untuk berhati-hati, sekali gus mengelakkan daripada terlanggar atau dia yang melanggar kenderaan lain.

      Namun sifat buruk ini apabila menguasai diri boleh menimbul masalah, bukan saja dirinya tetapi orang sekeliling. Ego di jalan raya, masalah yang sukar diubati dalam sekelip mata, melainkan jika individu terbabit sentiasa berusaha mengatasinya setiap kali memegang stereng. Orang ego memandang orang lain remeh, lebih kecil dan tiada harga baginya, tidak mengenal sifat-sifat mulia seperti hormat-menghormati, sabar dan tolak ansur. Orang ego suka menyalahkan orang lain, walhal dirinya sendiri yang melakukan kesalahan dan punca masalah di jalan raya seperti kisah pendek di atas — berhenti di laluan sibuk, yang menjadi punca kepada kesesakan dan kemudian mahu masuk lorong lain mengikut kehendaknya.

      3. TIDAK PATUH PERATURAN LALU LINTAS

        Ini perkara yang sedia maklum. Apa perkara sekalipun, jika tidak ikut peraturan, maka diterima balasannya. Di jalan raya, contoh jika anda memandu lawan arus, boleh berlanggar dengan kenderaan lain. Tak patuh papan tanda maklumat, dan terus redah saja, boleh buat kenderaan anda terbabas dan sebagainya. Selebihnya anda fikirlah sendiri.

        4. GAGAL MENGETAHUI KEADAAN JALAN, KENDERAAN

          Sebaik-baiknya pemandu mengetahui keadaan kenderaan yang dipandunya, seperti tahap cengkaman brek, tayar, lampu, keseimbangannya (termasuk ringan berat kenderaan dan kanan kiri pacuannya), bahan api termasuk minyak enjin, air bahkan sterengnya.

          Begitu juga dengan keadaan jalan — jika anda tidak tahu bagaimana keadaan jalan di hadapan seperti berbukit, menurun, berselekoh, maka sudah tentu anda patut memandu perlahan. Jika anda pandu dalam kelajuan tinggi, sedangkan anda tidak pasti jalan di depan berselekoh menurun misalnya, maka sudah tentu ia mendebarkan jika tidak terlajak ke laluan bertentangan.

          Justeru ada baiknya ambil sedikit masa untuk ambil tahu soal kenderaan dan jalan. Jangan main pandu dan pecut macam di tengah padang pasir.

          5. DI BAWAH TAHAP KECERGASAN

            Pemandu yang berada di bawah tahap kecergasan berbahaya sebenarnya. Mengantuk selalunya, atau terlelap secara tiba-tiba, ataupun minda tanpa sedar iaitu mata celik dengan tangan di stereng, tetapi pandu di laluan bertentangan – sebab tak sedar – ini bahaya. Kena ambil tahu perkara itu supaya anda tidak terbabit dengannya.

            Begitu juga orang baru bangun dari tidur, sebenarnya masih di bawah tahap kecergasan. Tahap kecerdasan belum pulih sepenuhnya selepas tidur berjam-jam. Ia mengambil sedikit masa untuk ke tahap optimum seperti sedia.

            Sebab itu, tidak hairan jika anda lihat pada waktu pagi, ketika jalan raya mula ‘diserbu’ bermacam-macam ragam pemanduan anda jumpa — ada yang laju macam tiada brek, ada yang memotong sebelah kiri dan ada yang bertukar-tukar lorong.

            Bagi memulihkan tahap kecergasan selepas tidur, ada orang sekurang-kurangnya meneguk segelas air atau minuman terlebih dahulu di rumah, ataupun bagi mereka yang merokok menghabiskan sebatang rokok terlebih dahulu sebelum memulakan perjalanan.

            Kesimpulannya, anda punya kenderaan, anda punya nyawa, anda fikirlah sendiri.

            Foto: UNSPLASH