6 langkah patut anda perhatikan apabila menunggang motosikal

1. PERLAHAN

    Ertinya jangan terlalu laju, bukan terlalu perlahan sehingga menyusahkan kenderaan di belakang. Mengapa? Supaya anda tidak terbabas, tidak terlanggar kenderaan di depan atau sesuatu objek di depan, bahkan sempat membrek dengan selamat.

    2. BERI TUMPUAN SEMASA MENUNGGANG

      Memberi tumpuan termasuk bijak membaca bentuk jalan dan permukaannya seperti berselekoh, menurun atau menaik, tinggi rendah, berpasir atau berkerikil, berlubang (ada juga jalan yang tidak ditutupi setelah lama berlubang-lubang) dan berbonjol (terutama di taman-taman perumahan dan kawasan sekolah).

      Juga harus bijak membaca pergerakan dan perangai kenderaan di depan terutama kereta, sebab sesetengah pemandunya jenis tidak menghiraukan orang sekeliling, dengan tidak memberikan ruang atau menutup ruang, membelok tanpa signal, membrek secara tiba-tiba setelah menekan pedal minyak dan suka menukar lorong atau laluan (kanan kiri).

      3. TANGAN PADA HANDLE MESTI KUAT

        Tangan yang memegang handle mesti dipastikan genggam dengan kuat. Sebab ia memainkan peranan utama dalam mengekalkan keseimbangan motosikal yang kita tunggang. Terutama apabila sudut memusing, tangan harus kuat, diberikan tumpuan padanya, agar tidak mudah terbalik atau terlajak memasuki laluan bertentangan.

        4. TAJAMKAN MATA, ANGKAT LEHER

          Mata harus tajam. Bukan maksudnya tajam dalam erti mencemburui, tetapi tajam di sini dalam erti kata pandangan yang jelas pada fenomena di jalanan terutama di sudut depan sebelum menempuhinya. Sebab ada sesetengah penunggang lain mencelah di sebalik kereta atau kenderaan lebih tinggi seperti MPV, 4×4, bas dan lori. Mungkin mudah dilihat jika ada yang mencelah di depan kereta, tetapi bagaimana jika ada motosikal yang mencelah di sebalik kenderaan lebih besar dan lebih tinggi? Tentu tak kelihatan bukan?

          Justeru, leher juga kena angkat, agar kita sesama penunggang motosikal tidak bertembung di ruang sempit, akibat mencelah. Dan harus pantas membrek. Lagi satu, mencelah di sebalik kenderaan lain tidak digalakkan untuk diamalkan, kerana berbahaya malahan boleh mengakibatkan kereta misalnya terkena cermin sisinya. Jangan kita sampai menimbulkan masalah dan rasa tidak puas hati kepada yang lain.

          5. PAKAIAN MESTI SESUAI UNTUK MENUNGGANG

            Penunggang harus mempertimbangkan pakaian sesuai semasa menunggang di jalan raya. Ini kerana pakaian sesuai dengan mempertimbangkan aspek keselamatan dapat mengelakkan atau mengurangkan kecederaan jika berdepan atau berlaku sesuatu tidak diingini di jalanan. Ini bermula dari bawah seperti berkasut (kasut sehingga menutup buku lali lagi elok), berseluar panjang (yang tidak mudah koyak dan tahan geseran lagi baik), baju atau jaket sesuai dan sarung tangan (semuanya ada gunanya seperti dapat melindungi badan, lengan dan tangan dari tergeser di permukaan jalan), serta tidak dilupakan helmet atau topi kaledar (pastikan yang ada penutup di depan muka, kerana dapat mengelak habuk memasuki mata, mengelak pasir atau batu terkena muka ataupun mengelak muka terutama hidung daripada tercium muka tar jika terbalik).

            6. TIDAK MENIRU AKSI DI LITAR LUMBA

              Ini penting juga, Jangan apabila di jalan raya kita meniru aksi seperti pelumba profesional di litar lumba, seperti “corner baring” di selekoh. Aksi sebegitu berbahaya. Mereka di litar lumba sudah terlatih, lengkap berpakaian untuk menghadapi sebarang kemungkinan bahkan di kiri kanan litar siap dengan objek-objek memininumkan impak jika terbabas atau terbalik, tetapi kita di jalan raya dalam situasi berbeza. Ingat, jalan raya walaupun turapannya tampak cantik, rapi dan halus, apabila badan kita tergesel dengannya bukan lagi calar, tetapi….pandai-pandailah beri jawapan. Semua bersekolah, kan!

              Sumber Foto: UNSPLASH