
Pandang dari luar cantik. Kelihatan sempurna. Boleh dikatakan cukup sifat.
Namun apabila disentuh, dipegang mula terasa semacam. Belum cuba lagi.
Gigit sedikit. “Eh…kenapa rasanya lain macam…oh intinya macam ni. Inti apa ni?”
Itulah cerita sejenis kuih….tampil dengan inti yang beragam…tidak biasa dengan selera sesetengah orang.
Pandang satu lagi kuih yang diselaputi kelapa parut. “Yang ini nampaknya macam OK je,” luah seseorang sebelum menjamah dan mencubanya.
“Agak OK, tapi….kelapanya tua, berhampas.”
Begitulah serba sedikit yang dapat diulas mengenai kuih di Malaysia, khusus di sebuah tempat di Selangor, di mana penulis mencubanya.
Disebabkan penulis berasal dari Pantai Timur, di mana kuih-muihnya kena dengan citarasa, apabila mencuba kuih-muih di sesetengah negeri lain, terus terasa semacam, tak sedap langsung…seperti pembuatnya tidak tahu kaedah.
Dalam kita menghasilkan atau membuat sesuatu, bukan saja kuih-muih, makanan seperti nasi, mi dan sebagainya, atau apa saja dalam kerja buat kita, kena tahu cara, dengan penuh semangat dan tulus.
Jika tidak tahu cara, ditambah tiada pengalaman, maka begitulah jadinya. Kuih yang kita buat tidak ‘menjadi’. Sekali orang beli, sekali orang makan, terus tak beli dan tak mahu makan.
Eh…soal makan jangan buat main — Ada orang cukup berhati-hati dengan apa yang akan disuapkan ke mulutnya, sebab daripada makanan sama ada akan membuatkannya bertambah sihat atau sebaliknya.
Semangat, bukan sambil lewa. Kerja apa pun, kalau buat sambil lewa tak menjadi. Ahhhh….hendak berdiri dan berjalan pun, kalau sambil lewa takkan mampu…jika tak percaya, cuba lakonkan — macam orang tak cukup vitamin atau orang mabuk, kan.
Ketulusan aspek penting yang perlu disebatikan dalam diri kita, namun ia sering terhakis apabila datang taufan materialistik — mata bulat pada kertas sahaja. Faham ke tu….kertas maksudnya wang semata-mata.
“Peduli apa aku…asalkan dapat duit…yang aku nak duit…sedap tak sedap belakang kira…” Contoh luahan.
Sebab sikap sebegitu, kuih-muih yang kita buat, sukar untuk dijual. Hari-hari terpaksa bergantung kepada pelanggan baru — tapi sampai bila, berapa ramai orang di sekeliling — justeru, lama-kelamaan, kuih-muih tidak lagi terjual, perniagaan terhenti, hanya kerana sikap kita itu.