Jangan kerana kita, orang lain dapat celaka, hujan tak turun, bumi merekah

Foto Unsplash

“Mak ayah kamu tu, kenapa buat begitu?” Itu soalan dilontarkan kepada mereka bersikap kasar terhadap kedua-dua ibu bapa, apatah lagi sehingga ke tahap mencederakan dan membunuh.

Mereka bersikap demikian barangkali tidak sedar, adanya mereka di dunia ini – dapat menikmati segala-galanya, dapat bercakap, berjalan, berlari, bergaya dan bersenang-lenang, duduk sedap, makan pun sedap, sebab – adanya ibu bapa,

Darah yang mengalir dalam tubuh itu, adalah darah asalnya daripada ibu bapa. Tak sedar? Lupa? Jahil?

Tak sedar tu, lupa barangkali — habis tu bersikap seolah-olah tidak kenal ibu bapa. Eh, haiwan pun kenal induknya, inikan pula manusia, diberikan akal, boleh berfikir antara yang patut dan tidak.

Jika dalam Islam, bukan saja memukul, membunuh ataupun bersikap kasar, bahkan berkata “ah” sudah dilarang terhadap ibu bapa. Begitu halus suri keperibadian diajarkan Islam. Cantik, bagus dalam Islam, tetapi jika tidak mematuhi, tidak mengikuti ataupun tidak mempraktikkannya, tak ke mana juga.

Semua orang Islam tahu bahawa agamanya mengatakan begini dan begitu, tetapi jika buat ‘bodoh’ iaitu buat-buat tak tahu atau tak mahu ambil berat, hidupnya serupa dengan orang tiada agama bahkan lebih lagi.

Oleh kerana itu, kita dapati kebelakangan hari ini bermacam-macam salah laku tercetus. Hendak cerita, memang panjang…boleh perhatikan pada laporan berita.

Mereka diberikan amanah, melakukan khianat pula…anak-anak sebagai contoh diabaikan, tidak dipedulikan, malah didera dan dibuat sesuka hati. Jika anak bersalah dan patut dihukum sekalipun, biarlah hukuman itu adil…yakni adil dengan usianya, adil dengan daya fikirnya dan capaian pengetahuannya yang masih terbatas. Bukan kerana kita ibu bapa, maka kita bebas memperlakukan anak-anak sesedap rasa (ikut panas baran kita)…anak kita tu…darah daging kita, yang bakal mewarisi kita…mewarisi usaha kita, malah raut wajah, gerak laku, serupa dengan kita. Jika kita bersikap tak adil dengan mereka, tak berasa mengalir air mata kita…tak kiralah kita sebagai emak, atau ayah.

Dan begitulah juga guru, amanah dan tanggungjawab mendidik, mengajar haruslah disemat dengan sebaik-baiknya…bukan bertindak ikut suka atau ikut hati. Nak denda, nak hukum murid, biar adil…jangan kerana ikut hati, tindakan kita jadi melampau. Misalnya melibas murid dengan bahagian buku yang keras dan tajam pada wajah murid…eh dalam Islam pun larang daripada mencederakan bahagian wajah. Tindakan, bukan sebarang tindakan harus dikenakan…dan harus diingat, sekolah ialah tempat memberikan pendidikan, mendidik yang tak cerdik menjadi cerdik, mendidik yang nakal kepada insan yang baik budi, tak berdisiplin kepada berdisiplin, bimbing ke arah kebaikan dan kejayaan…bukan tempat menghukum, melepaskan geram dan sebagainya. Kadang-kadang murid tiba lewat, bukan salah murid terbabit…sebagai contohnya dia sudah keluar dari rumahnya sesudah Subuh, tetapi oleh kerana kenderaan seperti bas dinaikinya lewat tiba, maka perjalanannya ke sekolah lewat, bukan kerana dirinya tetapi kerana bas yang lewat….tetapi apabila tiba di sekolah, ceritanya tidak diambil peduli, lantas dia didenda pusing padang….adilkah hukuman terhadap kesalahan yang seorang murid itu tidak melakukannya? Mungkin kerana sebab itu, sesetengah masyarakat tak bergerak maju….tahapnya berlegar-legar di sekitar tahap sama. Jika hendak diibaratkan seperti takungan air yang tidak bergerak ke mana, seperti air kolam.

Mereka yang tamak harta orang pula tak habis dengan menipu dan memperdayakan orang – dalam bermacam-macam gaya dan jenisnya.

Kita manusia, hidup jangan sampai menyusahkan, merosakkan dan memusnahkan hidup orang lain.

Apalah erti kehidupan…ada kerja bagus, dengan pendapatan lumayan, disegani yang lain, sedangkan kita mengganggu dan mencelakakan hidup orang lain. Tak perlu pergi jauh…lihat hubungan sesama ahli keluarga…ada yang bercakaran, tak bertegur sapa, saling meninggi diri, hendak tunjuk “aku yang lebih”.

Jangan disebabkan adanya kita…maksudnya dengan sikap kita, tindakan kita, maka orang lain mendapat celaka. Jangan, disebabkan adanya kita, doa tak dimakbulkan, anak-anak tak berjaya dalam hidup, murid gagal dalam pelajaran, masyarakat, negara atau negeri tak aman. Jangan disebabkan kita, hujan tidak turun, bumi menjadi semakin gersang, dengan tanah dipijak runtuh atau merekah.

Menjadi tanggungjawab kita untuk mengemudikan diri ke arah yang menguntungkan, yang baik-baik, bukan untuk diri kita saja bahkan orang lain (baik kita, baik juga orang lain; untung kita, untung juga orang lain). Sukar atau tidak, rela atau terpaksa, mesti kita usaha pautkan (seperti paut dahan pokok) diri kita ke arah kebaikan – sedaya upaya.

Jika tidak mampu memberikan kebaikan dan keuntungan kepada yang lain, maka pastikan sikap dan tindakan kita jangan sampai mencetuskan keburukan atau mudarat (termasuklah yang merugikan, menganiaya, menyusahkan, mengaibkan) kepada orang lain. Maklumlah, manusia tidak sunyi daripada salah dan silap. Jadi, buruk dan jahat daripada sikap itu pastikan biar ada batasnya. Ertinya sikap atau tindakan buruk itu hanya terbatas pada diri sendiri. Faham atau tidak tu?

Pandang pada sudut keilmuan oleh cerdik pandai Muslim, (maksudnya) dalam soal ini, membabitkan salah laku hanya antara kamu dan Tuhan kamu, tidak membabitkan orang lain. Maknanya orang lain tidak terkesan dengan sikap dan tindakan buruk kamu.

Walaupun begitu, apakah seseorang itu cukup kuat untuk memikul dosa salah laku itu. Kalau setakat badan saja orang kata “sado” (orang kata, tetapi betulkah?), itu bukan bukti yang seseorang itu sudah cukup kuat.

Buat jahat tak susah, begitu juga buat baik tak susah. Menjadikan sikap jahat itu sebagai tabiat juga tak susah tetapi untuk menjadikan sikap baik sebagai tabiat yang melekat pada diri tak mudah.

Apa pun, dari hari ke hari, waktu ke waktu, di mana saja kita berpijak, kita harus memastikan diri kita ini benar sebagai manusia, bukan sebagaimana orang kata, jasad saja manusia, tetapi sikap dan tindakan adalah makhluk lain…iaitu manusia yang direstui bumi dan segala isinya, lebih-lebih lagi yang menjadikan kita.