
Masih terbayang bibir senyum seorang kawan zaman kampus dahulu, berkulit agak cerah, dengan gaya tersendiri.
Kerana ingatan terhadapnya masih segar, coretan ini juga dibikin dengan senyuman, ketawa tanpa suara.
Walaupun berpenampilan biasa dengan seluar jeans dan baju T berkolar, gayanya ada aura — kerana murah senyuman, tambahan pula rambut panjang sedikit di belakang kepala, ciri unik padanya.
Seperti kebanyakan yang lain, dia juga punya teman wanita atau selalu orang cakap girl-friend.
Oleh kerana dia kurus walaupun tidaklah terlalu kurus sebenarnya, selalu kawan-kawan mengusiknya, sampai mengatakan…nanti kalau kena tendang bini…melekat pada dinding.
Sikapnya yang penyabar dan lembut tidaklah membalas atau menghamburkan kata-kata tidak sedap didengar kepada kawan-kawan, apatah lagi ianya hanya sekadar gurauan.
Gurauan seperti itu dahulu bagi menghilangkan rasa bosan waktu terluang, selepas penat belajar.
Hari ini, sedar tak sedar, gurauan seumpama itu berlaku dalam masyarakat…memukul, menendang suami (walaupun tidaklah sampai melekat di dinding).
Hebat, isteri-isteri. Kuat, lagi perkasa. Berjiwa pemberani.
Memanglah kisah isteri memukul suami jarang-jarang kita dengar, sebaliknya yang selalu kita dengar, suami pukul isteri.
Kedua-duanya tidaklah molek, apatah lagi matlamat bersuami isteri itu untuk menjalani hidup dalam suasana aman, harmoni, ada gelak tawa.
Jika memukul, dipukul mananya ada gelak tawa, bahkan mendapat sakit…tak kena cara bahana lebih teruk.
Ada salah silap, mohon maaf dan memberikan maaf, bukannya hanya kerana ego ianya dibutakan, sedang sifat ego itu walaupun keras, tebal dan tinggi (jika hendak disifatkan) tidaklah menguntungkan langsung.
Sebarang rasa tidak puas hati, keliru ataupun ragu-ragu, haruslah dirungkaikan dengan cermat.
Kerana apa…kerana mahu memelihara hubungan suami isteri, menjaga ikatan suci murni, yang sekian lama dirancang, diharapkan. Banyak lagi perkara yang harus diusahakan dan diberikan tumpuan.
Jika asyik bercakaran, berantakan, saling ingin jadi jaguh, tak kalah dengan cakap orang, bagaimana mahu tumpu kepada suatu perkara yang membina?
Ibarat sebuah syarikat…ketua dan orang bawahannya bercakaran, bergaduh, bagaimana dapat beroperasi dan mengeluarkan produktiviti dengan lancar?