
Ada masa timbul isu babit kewangan, khusus jumlah tabungan untuk hari tua – waktu usia persaraan.
Bermacam-macam lontaran idea, dakwaan dan kata-kata mengenainya, sebagai contoh jumlah RM240,000 tidak mencukupi untuk tempoh 20 tahun selepas dibahagikan – maka, dapatlah sekitar RM1,000 untuk tempoh sebulan. Atapun sebaliknya, dengan mengatakan jumlah itu sudah selesa untuk persaraan.
Justeru, apa? Apa yang dapat kita mengerti atau kita sekadar mendengar, baca dan mengiyakan semua orang kata.
Tak begitu kan…sebab kita ada akal, ada ilmu, pengalaman yang pelbagai, cara hidup dan budaya berbeza-beza.
Oleh kerana itu, dalam kita menghadap bahan-bahan berita yang ditulis, dilapor, ataupun suara-suara daripada orang berkepentingan sama ada daripada parti politik, organisasi berteraskan keuntungan (seperti apa?), langkah pertama ialah jangan mudah hadam atau benam ke dalam jiwa.
Ya, setiap apa yang sampai ke telinga kita, nampak pada mata kita, seharusnya kita cermat (analisis singkat; seperti bertanya pada diri, betulkah?) sebelum mempercayai sepenuhnya dan menjadikan sesuatu itu sehingga ke peringkat pegangan. Jangan kerana silap pegangan, menghantar kita ke jurang kemusnahan, kemunduran, kerugian atau apa saja merujuk kepada keadaan yang mencelakakan.
Cukup atau tidak jumlah kewangan tertentu untuk menongkah kehidupan adalah tidak sama bagi setiap orang. Orang mengais ikan seperti nelayan, misalnya, tak perlu mengeluarkan wang untuk membeli ikan dan begitu juga orang buat beras, tak perlu mengeluarkan wang untuk membeli beras.
Sama juga jika kita bandingkan antara orang sihat dan sakit, yang mana orang sakit selalunya menggunakan banyak belanja manakala orang sihat, makan ala kadar pun sudah memadai. Namun kadang-kadang orang sihat juga menggunakan banyak belanja, ketika mana? Iaitu ketika dia mengikut nafsunya yang membuak-buak, misalnya hendak pakai kereta baru, kereta mewah, rumah besar berbilik-bilik lengkap semua penyaman udara, perempuan sana-sini…sekali keluar wang beribu-ribu. Itu belum masuk lagi dari sudut pakaian dan aksesori pada diri.
Nampak tak, perbezaan banyak atau sedikit dan bagaimana penggunaan wang itu?
Kemudian, orang tinggal di desa, hutan dan bandar, tak sama kosnya. Jika di bandar, kosnya tinggi…bayar bekalan air, letrik, cukai pintu, cukai tanah, cukai buang najis serta yang lain-lain yang seperti saman parkir, saman trafik dan insurans — semua itu memerlukan wang. Manakala orang tinggal di desa, mungkin menggunakan air perigi, tiada parkir berbayar, tiada cukai pintu bahkan di hutan pula, mungkin guna generator atau api pelita.
Cara hidup juga tak sama – ada orang makan nasi tiga kali sehari iaitu pagi, tengah hari dan malam. Ada sesetengah orang makan nasinya hanya sekali sehari.
Ada orang menggunakan kereta, ada yang menggunakan motosikal bahkan basikal ataupun tiada apa-apa, hanya berjalan kaki dan kenderaan awam untuk ke mana-mana.
Justeru, sebelum kita mengatakan satu jumlah itu cukup atau tidak, adalah boleh diterima jika kita telah membedah setiap sisi atau menelusuri lorong-lorong kehidupan dan lencongannya.
Cakap bukan sebarang cakap. Jangan kerana percakapan kita yang tidak berpijak pada kenyataan atau hanya 30 peratus menginjak di lapis nyata, buat orang berasa susah hati.
Hakikatnya, kehidupan ini tidak bernoktah pada satu angka sahaja dan berlegar-legar di daerahnya. Tidak sama sekali.
Kehidupan adalah berseni, membabitkan banyak unsur yang pelbagai – atas, bawah, kiri dan kanan, kelihatan ataupun ghaib.
Sebab itu, apabila kita mengukurnya dengan angka semata-mata, maka kita berasa cemas, bimbang tak menentu, lalu menuding ke pihak lain. Apatah lagi, ukuran kita itu bersifat umum, yakni ditujukan kepada semua.
Walhal, tika ini, orang tak berpendapatan pun boleh menghela nafas lega. Orang yang hartanya tiada, tiada jawatan, aaahhh tak penting pun kata orang, tapi usianya panjang, sempat lihat cicit-cicitnya. Ceria saja hidupnya. Tak cuba pandang?