
Agak menakutkan, apabila melihat kepada tajuk laporan akhbar mengenai nahas jalan raya mutakhir ini. Ada saja yang maut akibat kemalangan jalan raya.
Kadangkala mereka memandu atau menunggang seperti biasa, secara berhemah, tetapi masih juga terbabit nahas.
Malah, dalam keadaan kenderaan berhenti, diletakkan di parkir sekalipun masih belum terlepas daripada kemungkinan itu.
Manusia walaupun lasak, tahan sakit atau segelintirnya sohor berbadan sado (sasa), tidak ubah seperti telur. Jika sebiji telur terkena sesuatu yang keras, maka ia pecah dan mengalir keluar cecairnya, begitulah juga manusia dihentam sesuatu yang keras dalam pelanggaran maka akan cedera, mengalir keluar darah, ataupun tercabut nyawa.
Sebagaimana kita menjaga telur daripada terkena benda keras atau tajam ketika membelinya dan dibawa berhati-hati, maka keselamatan kita juga perlu difikirkan bersama walaupun di mana kita berada, lebih-lebih lagi di jalan raya. Kita perlu berusaha mengelakkan daripada terbabit dalam perlanggaran. Kita perlu memastikan kenderaan kita tidak melanggar yang lain.
Berdasarkan Laporan Tahunan Keselamatan Jalan Raya, Forum Pengangkutan Antarabangsa (www.internationaltransportforum.org), kemalangan maut bagi 100,000 penduduk pada 2012 membabitkan 37 negara menunjukkan Malaysia adalah 23.6 iaitu tertinggi.
Meninjau laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih daripada sejuta orang terbunuh di jalan raya di dunia setiap tahun.
Satu laporan diterbitkan oleh WHO pada 2004, dianggarkan 1.2 juta orang terbunuh dan 50 juta cedera dalam pertembungan trafik di jalan raya di seluruh dunia setiap tahun.
Laporan itu juga menyatakan masalah ini adalah yang paling teruk di negara membangun, namun langkah pencegahan yang mudah boleh mengurangkan separuh jumlah kematian.
Menurut Laporan Status Keselamatan Jalan Raya Global 2013 WHO, menurunkan lima peratus dalam purata kelajuan boleh mengurangkan 30 peratus kemalangan maut, manakala had kelajuan kawasan bandar 50 kilometer per jam boleh mengurangkan kecederaan dan kematian.
Faktor manusia dalam perlanggaran kenderaan merangkumi semua faktor yang berkaitan dengan pemandu dan pengguna jalan raya lain yang boleh menyumbang kepada perlanggaran.
Contohnya, tingkah laku pemandu, ketajaman penglihatan dan pendengaran, kebolehan membuat keputusan dan kecepatan tindak balas.
Satu artikel di Wikipedia menyatakan, laporan pada 1985 berdasarkan data kemalangan Britain dan Amerika Syarikat mendapati kesilapan pemandu, mabuk dan faktor manusia yang lain menyumbang keseluruhannya atau sebahagiannya kepada kira-kira 93 peratus daripada kemalangan.
Apa tindakan kita selepas meneliti angka dan realiti itu? Menyalahkan pihak lain tidak banyak membantu, sebaliknya memperbetulkan diri masing-masing, terutama sikap sewaktu berada di jalan raya.
Kita perlu banyak bersabar, berhati-hati, jangan cuai dan gopoh. Paling penting, fikirkan juga keselamatan orang lain iaitu ada timbang rasa, bukannya sikap bersaing dan mementingkan diri sendiri seperti kata sesetengah orang ‘asal aku lepas’.
Semua sikap positif itu jika diamalkan akan memberikan keselamatan dan kebaikan bersama. Tapi sejauh mana kita mementingkannya?