
Istilah ini popular di Kelantan. Maksudnya bohong. Tetapi sebutan pelawok (atau dieja pelawak) ini lebih berseni berbanding perkataan semiripnya. Begitu juga cara dan gayanya.
Oleh kerana ianya berseni, maka coretan ini juga cuba digarap berseni dan untuk memahaminya ada seninya…tidak ‘straight forward’.
Pelawok merujuk kepada perkataan atau sikap berbohong (tidak betul). Jika bercakap, cakapnya tak betul. Begitu juga jika berjanji, janji tak ditepati seperti ditegaskan sebelumnya.
Itu dalam konteks yang biasa kita lalui, kita temui dan kita fahami. Justeru tiada perlu kepada huraian lanjut.
Baik. Bagaimana dalam hubungan yang lain. Contohnya dalam promosi produk…kita menampilkan pada harga murah tetapi kualiti tidak seperti diharapkan malahan langsung tidak dapat diambil manfaat daripadanya, sedangkan wang sudah dibayar. Tidakkah itu pelawok? Ini banyak, produk seperti jam, kereta, berkaitan Internet dan hosting misalnya, dan kes pelawok (tipu) dalam talian itu sendiri macam-macam yang kita dapat perhatikan melalui berita dipaparkan.
Mereka yang menjual kasut berjenama misalnya, pada harga rendah daripada biasa, lalu dibeli pelanggan kerana percaya pada kualiti jenama berkenaan…namun selepas dipakai seminggu atau beberapa hari kemudian, tercabut benang pada kasut. Tidakkah kita sebagai pelanggan atau pengguna berasa tidak berbaloi dengan wang dibayar. Berasa tertipu?
Mereka yang berkobar-kobar mengatakan ilmu itu penting, menggalakkan anak remaja dan belia menuntut ilmu…jika tidak menyambung pelajaran akan merugikan (ayat biasa kedengaran).
Namun pada masa sama mereka atau pihak terbabit dalam bidang itu mengenakan kos mahal bagi mengikuti pengajian di institusinya, sekali gus menyebabkan kebanyakan penuntut yang datangnya daripada keluarga tidak seberapa terbeban, tertekan, terpaksa berhutang.
Apa, mahu ajar anak remaja berhutang dari awal? Patutlah ada orang sampai ke tua pun, hutang tak habis — bak kata orang, gali lubang, tutup lubang…hidup terbelit dengan hutang.
Jadi, apabila tiada anak remaja sambung belajar, siapa yang rugi? Dari segi pemerolehan ilmu, ya anak remaja rugi, tapi dari segi perolehan wang daripada kos pengajian, institusi itu rugi juga — tak begitu? Jadi, dua pihak rugi, bukan di pihak anak remaja saja. Kena jelas tu.
Di akhir zaman ini, semua perkara mahu dibuat duit, termasuk dari sudut ilmu dan pembelajaran. Memanglah hidup perlukan wang dan khidmat kerja harus dibayar tetapi patut-patutlah (tidak membebankan dan tidak menimbulkan suatu situasi disebut zalim)…anak remaja itu, ya mereka adalah anak orang lain…ketika kita pandang… tetapi dalam yang ramai itu, zaman bertukar ganti, yang kanak-kanak jadi remaja, yang remaja jadi belia seterusnya dewasa manakala kita pula dah tua bangka, berdiri pun dah tak larat…takkan tak ada anak cucu kita. Janganlah apabila lanjut usia baru terfikir, “kalau dulu aku buat begini, senang anak bangsaku…senang anak cucuku, bahagia hidup mereka”. Menyesal kemudian tiada gunanya lagi.
Kemudian ilmu disampaikan sejauh mana berkualiti (dari segi tenaga pengajar dan subjek itu sendiri)…sebab jika berkualiti lulusannya tidak kekok menempuh alam kerjaya, mengusahakan atau mereka cipta suatu mendatangkan pulangan – faedah, sama ada untuk dirinya ataupun masyarakat, baik untuk masa pendek atau panjang.
Pengalaman penulis sendiri pernah bertemu dengan beberapa pelajar institusi melakukan latihan praktikal dalam penulisan dengan kebolehan kurang memuaskan. Sepatutnya hal itu tidak terjadi, kerana telah bertahun mengikuti pengajian, bukannya beberapa bulan.
Kita fikir kembali, di mana letaknya makna “membantu” anak bangsa, memikul tanggungjawab bersama mewujudkan generasi berilmu, terpelajar, jika semuanya harus dibayar manakala tiada wang ditunjukkan jalan berhutang (selalu orang sebut pinjam atau pinjaman, satu istilah bunyinya lembut walaupun bahananya buat pahit bibir mulut) — wang dihutang tidak pun dilihat penghutang atau peminjam melainkan lebihan tak seberapa, kerana perlu dilunaskan ke pihak institusi. Jadi, nak belajar tinggi kena berhutang? Ini teknik ekonomi jenis apa?
“Bantu” dan “niaga” adakah sama maksud? Jika kita kembali ke alam sekolah rendah, bantu selalu disebut, satu sikap murni yang sangat ditekankan. Tetapi selepas membantu, kita tidak meminta bayaran atau wang. Jika kita buat begitu (meminta bayaran), kita akan dipanggil sebagai memeras, mengambil kesempatan. Tak betul?
Begitulah juga dengan perkara lain, mengadakan elektrik atau air (tak mahu tulis ‘air bersih’ sebab ada juga yang tak bersih), adakah ia termasuk dalam kategori pengertian ‘bantu’, sedangkan pengguna perlu membayar bil setiap bulan.
Masuk tandas pun kena bayar, tetapi tempat ini walaupun sesetengahnya bau kurang menyenangkan atau senang kata ‘tempat busuk’, tidaklah terpalit dengan idea ‘busuk’ kerana jika mengenakan bayaran, jelas tertera kadar bayarannya sekitar 20 sen atau lebih sedikit misalnya, tidak tertulis pun ‘bantu’ — jadi, tidak mengelirukan orang malah kadarnya tak melampau-lampau.
Kita sebagai pemimpin pula misalnya, cakap sana-sini, atas pentas, bawah pentas, berkobar-kobar pasal membela rakyat, tetapi orang di bawah tak berkurang pun hidup susah. Yang susah tetap susah, mata berkelip-kelip melihat sekeliling takut-takut ada perubahan…kadang rintih sendiri, berasa tersepit, acap kelu tak terkata, tak siapa peduli.
Kita bergaji bulan, dari bawah sampai atas pakai bersih, cantik, segak bergaya (tapi peraga untuk siapa), sedang mereka yang susah, makan pakai ala kadar…seluar baju lusuh, kadang selipar putus disambung dawai atau ditusuk paku. Jika di Kelantan, biasanya yang susah nasi putih dengan budu saja. Jadi, kalau kita di atas, makannya sedap, duduknya sedap, bagaimana agaknya…serupa yang kita cakap, yang kita dendang?