
Hari ini, semua benda boleh menjadi wang. Bergantung kepada kemahuan, keberanian, peluang dan daya kreativiti.
Kita bawakan contoh, pucuk ubi kayu, dahulu di kampung-kampung saja boleh ditemui, dipetik dari pohon-pohonnya, tak perlu dibeli. Alah, tak jumpa pun orang jual pucuk ubi kayu. Jumpa–jumpa dah siap rebus, sayur atau gulai kuning, terhidang di pinggang. Dengan nasi panas-panas, atau suam-suam, tambah menyelerakan. Itu dari segi makanan.
Kita lihat pula contoh perkhidmatan, paling nyata ialah mengurut. Dulu, orang dengar tak dengar saja apabila sebut urut, kurang glamour walaupun yang mengurut itu orangnya disebut-sebut, sebab jarang yang ada kepandaian sebegitu. Ya, dari segi kerja itu (profesion) tak glamour, tetapi individu mempunyai kemahiran itu disebut-sebut orang, kadang-kadang sohornya merentasi kampung dan daerah. Pun begitu, bayarannya taklah tinggi, tidak begitu lumayan bahkan yang datang untuk mengurut bukan setiap hari, jadi perlulah tukang mengurut itu melakukan kerja-kerja lain untuk mendapatkan rezeki.
Kini, ketika batu-batu dan pepasiran dari hutan belantara memasak tanah di bandar dan penempatan penduduk, sehingga tercipta istilah mengujakan jiwa, maka urut yang dulunya disebut di kampung-kampung sudah beralih galmour ke bandar-bandar. Sesetengah orang sebut masaj (daripada perkataan Inggeris, massage).
Dan kita jumpa juga bermacam-macam jenis masaj dan kaitannya, ada urut kaki, urut (oleh) orang buta, masaj Thai, masaj itu dan ini…ha macam-macam, dengan harganya tak murah, tak serupa urut kampung (bukan urut di kampung…lain makna tu). Dan kalau, dulu orang kampung yang mengurut tak mudah mendapatkan wang, hari ini orang bandar (entah datang dari mana-mana bahkan dari luar negara, tak sedikit), mudah saja buat duit. Begini, bayangkan paling kurang seorang pelanggan ke kedai urutannya dikenakan bayaran RM50 atau lebih lagi dan jika sehari ada paling kurang 10 pelanggan, dah berapa tu…tak RM500. Itu kalau dengan bilangan minimum tahap itu, bayangkan jika lebih 20, 30 atau lebih lagi, bahkan dengan bayaran tip atau lain-lain yang ada kesalinghubungannya…faham ke tak tu. Memang kayalah kan…sebab itulah bisnes itu boleh bertahan.
Mutakhir ini juga menipu boleh jadi ‘berjaya’. Orang menipu boleh jadi kaya, menipu boleh dapat kuasa, pengaruh…macam tak percaya kan!
Dulu, orang menipu dibenci masyarakat, dicela sungguh-sungguh…sampai orang ada sifat itu atau cuba-cuba untuk berbuat begitu tidak ada ruang untuk meneruskan angkaranya…tak berani.
Namun hari ini boleh dikatakan saban hari ada saja yang menipu dan cuba untuk menipu orang. Tuuuh…penipuan dalam talian, media sosial dan sebagainya…tak sedikit wang orang dikikisnya.
Alaaah…cakap hari-hari pun, ada juga menipu…ya, apabila cakap perkara tak betul, sengaja menipu ataupun cakap ikut sedap mulut saja dengan tak ada niat untuk menipu seperti asal dengar ditelinga, terus percaya dan bercakap mengenainya, padahal belum tentu betul dan dia iaitu orang bercakap itu juga tak tahu pun betul atau tidak sesuatu diperkatakannya. Kitakah?
Kadang-kadang orang bercakap ikut bahasa buku ‘sebijik’, dalam buku kata haram, lalu dilontarkan itu kepada orang di luar…”eh, haram, eh tak boleh”. Pantas…sebab, orang lain. Cuba kata, intai dulu pada diri sendiri, sebelum nampak salah orang lain. Padahal, keadaan sebenar orang itu, hal babit orang itu dan orang berkaitan selalunya ada, perlu juga diambil kira, diambil tahu atau senang kata, diusul periksa, kemudian hukum itu yang selalunya tertulis bersifat umum, diukur, disepadankannya dengan hal berkenaan dan lain-lain yang banyaaak lagi, dan ia seharusnya dengan sikap penuh hati-hati. Mengapa? Sebab agar tak menafikan hak hukum di satu sisi dan di satu sisi lagi tak menafikan hak orang terbabit (hak kemanusiaan termasuk maruah, bahkan cakupan lebih meluas termasuk dari segi adat, aspek kekeluargaan, hubungkait dan budaya), maknanya perlu ditimbang secara adil, tak berat sebelah, jadi tak terpisahlah antara hukum dan manusia itu sendiri. Barulah kedua-dua aspek itu boleh bersepadu, sebati, serasi, diterima dengan penuh rela dalam kehidupan dan diperakui dengan tulus murni oleh sesiapa saja di mana-mana. Justeru, andai kita tidak buat begitu (dengan teliti dan hikmah), maka boleh jadi sesuatu daripada kita (sama ada daripada mulut atau tindakan kita) tidak benar…ertinya apa? Adakah kerana itu hidup kita tersisih, meleset saja?