Siapa pengganas?

Foto Unsplash

Perang antara Israel dan Hamas atau perang antara Israel dan rakyat Palestin?

Ternyata, ramai dalam kalangan orang awam Palestin yang terkorban, cedera dan hilang, menurut laporan media dari semasa ke semasa.

Secara logik, jika perang antara Israel dan Hamas, mengapa orang awam terutama kanak-kanak dan wanita yang menjadi mangsa, menjadi korban?

Cuba kita fikir dengan akal yang waras?

Jadi, apakah “perang antara Israel dan Hamas” itu sekadar “kulit” iaitu sekadar ungkapan di bibir saja, bagi menjustifikasikan tindakan ganas Israel.

Jika Israel sangat marah kerana kumpulan yang dikatakan sebagai Hamas menceroboh, mengganas dan membunuh di tanah mereka, mengapa pula mereka turut menceroboh, mengganas dan membunuh di tanah orang Palestin? Tidakkah tindakan mereka itu serupa, bahkan berganda-ganda lebih teruk lagi dengan mengambil kira jumlah korban yang kian meningkat, ditambah dengan rentetan sejarah tindakan mengganas Israel sebelumnya terhadap bumi dan rakyat Palestin?

Apakah marah Israel itu betul-betul marah atau marah kerana berasa malu besar, selepas gagal mengawal keselamatan tanah diduduki dan ditadbirnya? Dan untuk menutup malu mereka, maka tiada cara lain, melainkan menonjolkan kerakusan dalam perang diciptanya.

Apa tidak malunya, sebab selama ini didendangkan dengan pelbagai kecanggihan peralatan terutama aspek keselamatan. Namun yang tersurat membuktikan ia tidak seperti diuar-uarkan.

Kerakusan Israel itu pula tidak langsung mencerminkan keberanian askarnya, bahkan sekali lagi menunjukkan kebebalan…mengapa? Sebab, mengebom, membedil orang awam yang tanpa senjata…dan bedilan itu pula dengan senjata atau kelengkapan persenjataan moden…bukankah itu suatu kebebalan?

Mereka mengganas di tahap teruk, melayani orang dibenci oleh mereka seperti haiwan, menduduki tanah air orang lain sesuka hati, tiada rasa hormat, tetapi dalam waktu sama, mereka mahu pula berkawan, berdagang, bekerja, bersosial dengan komuniti antarabangsa, bahkan mahu difahami…begitulah peliknya perangai orang Israel.

Orang yang dibenci mereka dipanggil pengganas, tetapi mereka sendiri tidak pula digelar pengganas, walaupun tindakan ganas mereka melebihi daripada orang lain yang digelarnya.

Bukan kita tidak boleh terima panggilan atau klasifikasi “pengganas” itu kepada kumpulan atau individu yang terbabit dengan keganasan, tetapi biarlah neraca itu adil dan saksama. Sebagai contoh jika ‘A’ didapati mengganas, dan ‘B’ juga mengganas, maka kedua-duanya haruslah diklasifikasikan sebagai pengganas…jangan ‘B’ saja, manakala ‘A’ tidak, sebab ‘sekutu’….jika begitu, maka tidak berlaku keadilan di dunia ini walaupun wujud ‘polis dunia’.