
Penunggang motosikal selalunya dipandang sebagai pengguna kelas kedua di jalan raya, berbanding kereta.
Mereka juga sering dipandang sebagai tidak berdisiplin kerana sesetengahnya tidak mematuhi peraturan lalu lintas, terutama lampu isyarat — merah, kuning tidak diambil peduli, seolah-olah buta warna.
Tapi tak kata kepada mereka saja, kerana ada juga pengguna jalan raya lain seperti kereta malah lori tidak patuh lampu isyarat merah — nampak kuning, merah, makin laju dipandunya. Mungkin itulah punca mengapa kemalangan jalan raya kerap berlaku.
Tinggalkan di situ. Kita perhatikan sisi baik pengguna motosikal, antaranya:
TIDAK MENYESAKKAN JALAN RAYA
Belum pernah kita jumpa di mana-mana tempat, kesesakan jalan raya berpunca daripada motosikal.
Tak percaya — perhatikan fenomena kesesakan jalan di tempat masing-masing. Selepas itu anda buat kesimpulan sendiri.
Apabila tiada kesesakan, kepala tidak berkecamuk, tidak ‘stress’ — tidaklah hendak menghamburkan kata-kata tidak enak didengar kepada pihak lain. Betulkan.
Dan waktu perjalanan menjadi lancar dan pantas — segalanya mengikut seperti dirancang.
MEMBANTU PENGGUNA LAIN
Jika dapat diperhatikan kepada pengguna motosikal, sesetengahnya membantu pengguna motosikal lain yang mengalami masalah di jalanan, seperti masalah tayar pancit, kehabisan petrol dan sebagainya.
Selalunya mereka membantu dengan cara menolak motosikal terbabit dengan kaki kirinya, ke tempat dikehendaki pengguna terbabit.
Ini suatu sikap yang baik ditunjukkan mereka — membantu sesiapa saja yang menghadapi kesukaran di jalanan.
Malah, mereka jugalah selalunya yang ringan mulut atau pantas untuk bertanya masalah dihadapi pengguna kereta tersadai di jalanan.
REALISASI IMPIAN
Dan mutakhir ini pengguna motosikal jugalah yang merealisasikan impian anda untuk mendapatkan sesuatu terutama makanan yang dipesan cepat sampai ke tangan anda.
Mahu makan piza, kepak dan dada ayam, seterusnya bergembira bersama kawan-kawan dan seisi keluarga, mereka yang menggunakan motosikal jugalah — melalui perkhidmatan penghantaran pantas — yang menghantarkannya kepada anda.
Justeru pengguna-pengguna jalan raya terutama bagi kenderaan lebih besar, hargailah mereka, buangkan sikap suka memandang rendah, sehingga ke tahap “membuli” pengguna lain, terutama motosikal bahkan mereka yang mengayuh basikal ataupun pejalan kaki di jalanan.
Semua orang mahu selamat, bukan kita saja. Nyawa setiap orang, harta setiap individu, semua berharga dan perlu sama-sama jaga.
Dan harus sedar bahawa jalan raya tidak dimiliki oleh seorang individu, justeru tiada sesiapa berhak untuk membuat dakwaan keakuan seperti “ini jalan aku” atau “akulah raja di jalan ini”.
Seorang pengguna pacuan empat roda misalnya, dengan tayar pacuan yang besar, ekzos besar, sekali ditekan pedal minyak berkebuk keluar asap, tidak juga boleh mendakwa jalan dilaluinya itu jalannya — bila waktu dia beli jalan itu?
Hakikatnya, setiap orang, setiap rakyat mempunyai hak untuk menggunakan jalan raya mengikut peraturannya.
Tidak rugi untuk kita baik budi, berhati mulia di jalanan.