
Ramai orang memandang kepada wang atau peluang sahaja, tidak pada kedua-duanya. Boleh dikatakan hanya sesetengah orang melihat pada kedua-dua iaitu wang dan peluang.
Oleh kerana memandang kepada satu sudut sahaja iaitu wang terutamanya, maka orang terbabit mudah diperdaya atau menjadi mangsa kepada orang yang turut memandang pada peluang. Agak-agak boleh faham ke?
Baik. Kita ambil contoh begini: Apabila wabak atau umum dikenali sebagai virus (yang diberikan namanya) Covid 19 berlaku, maka orang yang memandang kedua-dua sisi (iaitu wang dan peluang) menggunakan peluang untuk menghasilkan pelitup muka, bahan pencuci tangan, sarung tangan, dan tidak dilupakan vaksin, tampil dengan pelbagai jenama.
Jika kita amati, tidak sedikit wang yang mereka perolehi daripada peluang digunakan itu. Hal ini boleh dibuktikan melalui pemerhatian kepada persekitarannya, sama ada umum penggunaannya dalam masyarakat, dagangan saham, ataupun laporan media mengenai operasi, maklum balas dan perolehan mereka.
Kemudian, kita bandingkan pula orang memandang pada wang – dalam talian, di depan skrin komputer atau telefon pintar sebagai contoh. Melihat pada skrin di depan mata, orang yang pandang pada wang semata-mata, mungkin akan berkata sama ada di bibir atau pada hati: “Wow! Kalau macam ni, aku boleh jadi kaya…hah, sekelip mata boleh kaya ni…aku kaya, aku kaya!
Orang yang pandang pada wang dan (mengutamakan) peluang pula iaitu dalang pada perkara itu, hanya tersenyum melihat setiap gerakan dilakukan oleh orang terbabit (yang memandang pada wang sahaja). Ditunggu masa difikirkan sesuai untuk “dingap” atau “dibahamnya”.
Sedikit demi sedikit, suku, separuh wang terkumpul dimasukkan ke akaun orang itu. Tapi orang yang mengutamakan wang itu masih tak sedar, walaupun dua matanya terbuka luas, paparan skrin besar dan terang di depannya. Kemudian, dipindahkan lagi wangnya, sehingga habis semua wang terkumpulnya, dan tiada lagi ‘gerakan’ daripadanya atau dalam erti kata dah habis step. Manakala orang yang mengutamakan peluang tadi pula tidak memberikan apa-apa respons. Situasi itu membuatkan orang mengutamakan wang dengan hatinya yang berbunga-bunga untuk jadi kaya, mulalah tertanya-tanya sendirian: “Kenapa senyap je…mana pergi…tak dapat pun wang dijanjikan…eh…kalau macam ni mampus aku…duit aku semua dah hilang…aduuuh aku tertipu…kalau macam ni, bukan kaya sekelip mata, tapi kayap sekelip mata…kenapalah bodohnya aku.” Ungkapan-ungkapan itu sebagai contoh – menunjukkan apabila mata kita, kehendak kita, diri kita memikirkan, melihat dan mengutamakan wang semata-mata, maka kita mudah dimangsakan kepada orang yang mengutamakan peluang.
Orang mengutamakan peluang tidak menggunakan wang sebagai modalnya atau jika digunakannya pun cuma sedikit, manakala orang mengutamakan wang, menggunakan wang sebagai modalnya.
Peluang ada di mana-mana, sama ada ia berlaku disebabkan subjek lain iaitu dalam maksud tidak diusahakan oleh orang ataupun ia sengaja diusahakan, dibuat oleh orang berkepentingan – maka, muncullah anasir seterusnya, naratif yang berepisod, sehinggalah orang terbabit mendapat apa yang mereka inginkan dan sasarkan.
Hidup ini adalah peluang. Nyawa dikandung badan itu peluang untuk kita, sama ada peluang membuat wang, peluang membuat pahala (bagi orang yang percaya kepada Tuhan), peluang melakukan kebaikan atau kejahatan, peluang menuruti Tuhannya atau nafsunya, peluang melakukan keadilan atau kezaliman, peluang memupuk kasih sayang atau kebencian – semuanya ada. Cuma kita yang kabur, cetek dan tiada pengetahuan dalam melihat dan membacanya (menganalisis, menjangkakan), sekali gus memberi kesan kepada perancangan, sikap dan tindakan kita dalam menghadapinya. Akibatnya kita tertewas, terpedaya, berada di posisi terkebelakang – jika digambarkan dalam persaingan, apa pun, umpama tertiarap dengan pasir penuh dalam mulut.
Tulisan ini sekadar ‘flash’ yang tidak mendasari kepada kajian ilmiah dikatakan pada tahap tinggi, dalam konteks saling mengingati dan beringat-ingat, menjentik butir embun pemikiran agar tidak terus bertompok begitu saja.