Ungkapan “yes boss” tidak asing bagi mereka yang bekerja di sektor korporat atau syarikat.
Secara ringkas, kita dapat fahami “ya bos” ataupun memberi maksud mengikut arahan ketua.
Umumnya ia tidaklah kelihatan sesuatu yang tidak kena. Betullah tu apabila “mengikut arahan ketua” dalam melaksanakan sesuatu tugasan
Apatah lagi kepatuhan kepada ketua menjadi suatu ramuan asas dalam memastikan kelancaran operasi di satu-satu sektor, jabatan atau organisasi.
Namun, bukan itu yang hendak diperkatakan di sini, kerana skop itu sudah sedia maklum.
“Yes boss” yang hendak diperkatakan dalam maksud mengiyakan semua yang keluar daripada mulut ketuanya, walaupun ianya suatu merugikan atau merosakkan. Nak kepada ampu.
Orang yang menjadikan “yes boss” sebagai pembawaannya sebenarnya tidak menguntungkan.
Mengapa? Sebab dia hanya menyokong idea atau cakap ketuanya sahaja, walaupun dia tahu apa yang dikemukakan itu kurang sesuai. Manakala idea daripada orang lain, apatah lagi daripada orang bawahan, tidak diambil kira, bahkan ditolak mentah-mentah…pandang sebelah mata je.
Dia mengagungkan idea ketuanya saja…apa maknanya, apa tujuannya? Ya…supaya ketuanya itu memandangnya sebagai orang yang sangat setia, sangat patuh, mengikut arahan ketua…”bagus orang ini,” misalnya detik seorang ketua itu.
Lebih-lebih lagi, ketua yang pantang dipuji. “Terbaiklah bos…” Terdengar lontaran sebegitu, hati seorang ketua berbunga-bunga, sehingga mata berpinar-pinar…antara betul dan palsu jadi keliru.
Mungkinkah kerana itu syarikat, jabatan ataupun organisasi jadi lesu….tak serupa dahulu?.
Sebagai contoh, sebelum wujud anasir “yes boss” jualan hampir setengah juta unit dalam sehari ataupun kalau bidang lain dalam berorganisasi, sokongan mencurah-curah…kemudian apabila anasir itu mula muncul, sedikit demi sedikit…umpama seperti orang menyelam dasar laut menimbulkan kepala perlahan-lahan — nampak rambut, dahi, hidung dan seluruh mukanya…maka, jualan, sokongan atau apa saja makin berkurang.
Ya mungkin…sebab budaya “yes boss”. Dan bos diulik rasa selesa, sunyi daripada curiga terhadap keputusan dibuat, jauh sekali untuk menilai kembali (ada juga orang sebut analisis atau muhasabah) apa yang dituturkan, difikirkan dan diputuskan. Sebabnya, orang kelilingnya mengatakan “yes”.
Pernahkah seorang ketua itu fikir…jika semua daripada mulutnya hendak diikut saja tanpa celahan atau tambah baik, untuk apa dibuat mesyuarat…mengapa prestasi tidak memuaskan, bahkan makin mundur. Jual tak laku…orang tak nak beli…buka mulut je orang lari (tak nak dengar)…asal bertanding je, kalah…contoh.