KUALA LUMPUR — Penyakit jantung iskemik (ischaemic heart diseases) masih kekal menjadi penyebab utama kematian di negara ini tahun lalu.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata penyakit itu mencatat 20,322 kematian atau 16.1 peratus daripada jumlah kematian yang disahkan secara perubatan.
Berdasarkan laporan Perangkaan Sebab Kematian Malaysia 2023 yang dikeluarkan hari ini, penyakit jantung iskemik kekal sebagai sebab kematian utama sejak lebih dua dekad lalu kecuali pada 2021 di mana COVID-19 menjadi sebab kematian utama.
Sementara itu, laporan itu menyebut penyakit pneumonia mencatatkan punca kematian kedua tertinggi di negara ini dengan 13.3 peratus diikuti penyakit serebrovaskular (7.2 peratus), COVID-19 (4.2 peratus) dan kemalangan kenderaan (3.2 peratus).
Selain itu, penyakit malignant neoplasm of trachea, bronchus and lung (2.1 peratus), penyakit kronik pernafasan bawah (1.8 peratus), hipertensi (1.7 peratus), kencing manis (1.7 peratus) dan tumor payudara (1.5 peratus).
“Sebanyak 13,817 kes atau 18.2 peratus kematian disebabkan penyakit jantung iskemik adalah dalam kalangan lelaki, manakala sebab utama kematian bagi perempuan adalah pneumonia iaitu 7,201 (14.3 peratus).
“Penyakit itu juga penyebab kematian utama bagi semua kumpulan etnik utama di Malaysia yang mana Melayu sebanyak 17.3 peratus, Cina (14.7 peratus) dan India (21.1 peratus) kecuali Bumiputera lain yang merekodkan pneumonia (11.5 peratus) sebagai sebab utama kematian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, sebanyak 206,525 kematian direkodkan pada 2022 yang mana 126,268 atau 61.1 peratus adalah sebab kematian yang disahkan secara perubatan dan 80,257 (38.9 peratus) sebab kematian yang tidak disahkan secara perubatan.
Mohd Uzir berkata, amalan gaya hidup dan pengambilan pemakanan yang tidak sihat adalah antara penyumbang kepada kematian disebabkan penyakit jantung iskemik pada masa kini.
Perkara itu, katanya, disokong oleh kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia iaitu penyakit jantung iskemik berlaku apabila saluran darah menjadi keras dan sempit disebabkan oleh plak kolesterol.
“Faktor risiko utama penyebab penyakit ini adalah termasuk merokok, paras kolesterol yang tinggi, tekanan darah tinggi, diabetes dan faktor usia.
“Selain itu, terdapat juga faktor lain yang mempengaruhi seperti obesiti, kurang menjalankan aktiviti fizikal dan sejarah keluarga,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, penyakit kencing manis dilihat lebih sinonim dengan kematian bagi Melayu dan India, manakala kanser adalah sebab kematian di kalangan kaum Cina.
Berdasarkan kumpulan umur, Mohd Uzir berkata, sebanyak 16.7 peratus kematian diakibatkan penyakit jantung iskemik adalah dalam kalangan mereka yang berusia 60 tahun ke atas dan kumpulan umur antara 41 hingga 59 tahun (20 peratus).
Selain itu, kemalangan kenderaan penyebab kematian utama penduduk berusia 15 hingga 40 tahun (19.2 peratus), manakala pneumonia penyebab kematian utama penduduk berusia 0 hingga 14 tahun (4 peratus).
Statistik terbaru ini turut menunjukkan kematian akibat kanser turut meningkat sejak tahun 2001 daripada 5,231 kematian kepada 15,901 kematian tahun lalu.
Mohd Uzir berkata, semua negeri di Malaysia, merekodkan penyakit jantung iskemik menjadi punca utama kematian kecuali Sabah dan Sarawak (pneumonia punca utama kematian).
Kelantan merekodkan peratusan tertinggi bagi penyakit jantung iskemik dengan 23.3 peratus diikuti Perlis (23.1 peratus) dan Melaka (20 peratus).
Penyakit itu juga adalah penyebab utama kematian utama di 73 daerah pentadbiran dan peratusan tertinggi direkodkan di daerah Bera, Pahang dengan 26.9 peratus.
BH Online