Warga emas dipenjara enam bulan kerana berita palsu mengenai keputusan Majlis Mesyuarat Raja-Raja

KUALA LUMPUR – Angkara kandungan bersifat palsu yang dimuat naik ke Facebook, seorang warga emas terpaksa merengkok dalam penjara selama enam bulan selepas gagal membayar denda RM30,000 yang dikenakan terhadapnya.

Tertuduh, Johari Ismail, 67, disabitkan dengan kesalahan memuat naik kandungan bersifat palsu berkenaan dengan keputusan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-268.

Dia melakukan kesalahan itu pada 8 Februari lalu menerusi akaun Facebook miliknya.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataannya, berkata Mahkamah Sesyen Sepang mensabitkan kesalahan terhadap tertuduh mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].

Seksyen itu memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara satu tahun, atau kedua-duanya sekali.

MCMC berkata, Johari ditahan lewat malam tadi sejurus waran tangkap dikeluarkan oleh mahkamah akibat kegagalannya hadir ke prosiding pertuduhan.

Johari dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman bermula hari ini.

BH ONLINE