Adakah Israel dilanda kekusutan, terdesak?

Situasi semasa perang di Palestin, sebagaimana dilaporkan ketika ini, memperlihatkan betapa peperangan dan senjata tidak mengenal erti kemanusiaan.

Masyarakat awam yang tidak pernah mengambil tahu mengenai persengketaan, dendam dan kebencian, turut menerima nasib sama bahkan penerima akibat terbesar – jika tidak cedera, hilang nyawa.

Mereka menjadi mangsa peluru yang datang dari arah tidak disangka-sangka, dihujani peluru berpandu tanpa ada petanda, pergi untuk selama-lamanya dalam sekelip mata.

Bumi Gaza tidak serupa sebelumnya, hancur lebur menjadi medan permusuhan dan dendam pihak-pihak, dengan orang ramai tidak mengira usia, anak kecil, ibu bapa dan datuk nenek berusia menjadi cagaran.

Mengapa jadi begitu? Satu punca, kerana terdapat sekumpulan manusia yang mengikut gejolak nafsu marahnya, berasa mahu sentiasa di atas, tidak mahu ditewaskan atau berasa tertewas, maka memberikan perintah kepada tentera, pengikutnya atau orang bawahannya untuk menunaikan keinginannya, dan untuk tujuan itu diciptalah naratif ataupun slogan bagi mewajarkan tindakan berkenaan, sebagai contoh ‘demi negara’, ‘demi perjuangan’ dan sebagainya.

Tentera, pengikut atau apa saja gelaran diberikan di peringkat pelaksana kepada perintah, di mana-mana tempat sekalipun, dapat diperhatikan, mengikut saja perintah diberikan – ikut membuta tuli, seolah-olah tak sedar sesuatu yang bakal dilakukan atau sedang dilakukan itu adalah suatu kezaliman, penganiayaan.

Malah, tindakan itu juga boleh saja menjerut atau memakan diri sendiri – tetapi kerana patuh tak bertempat, ikut saja apa yang dicakap, semuanya tidak dipeduli, asalkan jiwa kotor berasa puas.

Memandang kepada perang membabitkan penjajah Israel dan Hamas khususnya, orang awam di Gaza semakin hari semakin ramai terkorban – apa salah mereka, apa posisi mereka?

Jangan ditanya kepada Israel, kerana mereka tidak berperikemanusiaan, kelihatan kian terhimpit dan takut dalam bayang-bayang sendiri.

Jika berperikemanusiaan, mereka tidak mengebom bangunan-bangunan awam, kediaman penduduk atau orang awam terutama kanak-kanak, wanita dan orang tua, sehingga dalam tempoh tiga minggu meragut beribu-ribu nyawa.

Mereka takut, tetapi takut kepada apa, mereka juga tidak pasti barangkali, kerana itu Gaza dikepung, lintasan sempadan Rafah susah hendak dibuka atau dibenarkan keluar masuk bantuan dan pergerakan orang ramai – tanda jelas ketakutan satu-satu pihak berbuat demikian.

Mereka berasa tercabar, justeru mereka tidak senang dengan PBB apabila mahu menafikan visa kepada pegawai agensi terbabit.

Duta Israel ke PBB Gilad Erdan dilaporkan bahawa negara itu akan menafikan visa kepada pegawai PBB selepas kenyataan Setiausaha Agung Antonio Guterres, beberapa hari lalu.

“Disebabkan kenyataannya kami akan menolak untuk mengeluarkan visa kepada wakil PBB,” kata Erdan kepada Radio Tentera, menurut laporan The Times of Israel, dipetik daripada The National.

Israel juga pada Khamis kelihatan terdesak apabila menggesa Rusia mengusir delegasi Hamas yang melawat, mengatakan jemputan mereka ke Moscow ‘amat dikesali’.

“Hamas adalah organisasi pengganas lebih teruk daripada ISIS. Tangan tokoh kanan Hamas berlumuran darah lebih 1,400 warga Israel yang disembelih, dibunuh dan dibakar dan mereka bertanggungjawab atas penculikan lebih 220 warga Israel, termasuk bayi, kanak-kanak, wanita dan orang tua,” kata Kementerian Luar Israel dalam kenyataan, dipetik The National daripada Reuters.

Sedar atau tidak, naratif Israel ialah mengulang-ulang frasa ‘pengganas’ Hamas dan 1,400 rakyatnya.

Padahal Hamas baru sekali bertindak ganas sebegitu — tiada siapa merelakan tindakan ganas kepada mana-mana masyarakat awam — tetapi tentera Israel berkali-kali mengganas ke atas orang Palestin sebelum ini, bertahun-tahun, dan harus disedari 1,400 mangsa di Israel berbanding lebih 7,000 mangsa di Palestin khususnya di Gaza yang maut ketika ini, angka mana lebih besar — dan yang mana harus diperkatakan dan diulang-ulang. Tak perlu fikir panjang, murid sekolah rendah juga dapat memberikan jawapannya.

Media melaporkan, ketika wakil PBB Palestin Riyad Mansour sedang menyampaikan ucapannya di Perhimpunan Agung 193 negara pada Khamis, delegasi Israel mengedarkan risalah dengan kod QR supaya diplomat dapat melihat tindakan ganas Hamas pada 7 Oktober.

Tidakkah senario itu menggambarkan Israel sekarang terdesak atau hilang punca?

Israel sedang bersedia untuk serangan darat ke atas Gaza, kata Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dalam kenyataan disiarkan pada Rabu, tanpa memberikan butiran lanjut, lapor media.

Pernyataan perang darat ini bukankah pernah tersiar sebelum ini, tetapi mengapa dan apa motif mengulang-ulang cerita sama?