MACHANG — Tiga pekerja warga Bangladesh maut selepas tertimbus tanah ketika sedang membina tapak pembinaan lebuh raya di Kampung Maka, Labok dekat Pulai Chondong, tengah hari tadi.
Saksi kejadian, Anies Asiykin Ariffin, 29, berkata kira-kira jam 12 tengah hari tadi, dia yang baru sahaja selesai memasak di dapur untuk hidangan tengah hari sebelum mendengar jeritan beberapa pekerja di tapak pembinaan berkenaan.
Katanya, sebelum itu, dia ternampak beberapa pekerja berlari ke arah pemandu mesin pengorek sambil menunjukkan ke arah tempat mangsa tertimbus.
“Jarak rumah saya dengan lokasi kejadian adalah 50 meter dan pada ketika itu tidak memikirkan sesuatu yang pelik sehinggalah diberitahu biras, Siti Rohani Setapa, 38, ada pekerja tertimbus dalam timbusan tanah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Mohd Adli Mat Daud ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.
Katanya, kesemua mangsa yang maut berusia dalam lingkungan 30-an dihantar ke Unit Forensik Hospital Machang.
BH Online