Ainon Mohd akur turunkan hantaran hina Nabi, sedia mohon maaf – JAKIM

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) hari ini mengadakan pertemuan dengan pemilik akaun Facebook Ainon Mohd, susulan hantaran menghina Nabi Muhammad SAW, baru-baru ini.

JAKIM dalam satu kenyataan berkata, pertemuan itu dihadiri pegawai dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Jabatan Mufti Negeri Selangor bertujuan menegur serta menasihati individu berkenaan agar lebih berhati-hati dalam memuat naik kandungan berunsur Islam di media sosial.

“JAKIM sudah membuat teguran dan menggesa beliau menurunkan kenyataan terbabit seterusnya menasihati supaya berhati-berhati dalam memuat naik apa-apa kandungan berunsur Islam serta merujuk kepada pihak berkuasa bagi mengelakkan penyebaran maklumat yang tidak tepat.

Beliau bersetuju hantaran berkenaan diturunkan dengan mengemukakan permohonan maaf serta berjanji tidak akan mengulangi perkara yang sama dan akan lebih berhati-hati dalam sebarang penulisan yang dihasilkan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, JAKIM menggesa semua pihak tidak menimbulkan kekeliruan yang boleh mencemarkan kemuliaan Rasulullah SAW serta mengganggu keharmonian umat Islam di negara ini.

“JAKIM menghargai setiap usaha yang dilakukan oleh pemain industri penerbitan buku di Malaysia dalam memandaikan umat melalui medium terbabit dan sebagai salah satu medium dakwah.

“JAKIM berharap semua pihak lebih berhati-hati dan tidak sewenang-wenangnya membuat sandaran kepada baginda Nabi Muhammad SAW demi menjaga kesucian nama serta martabat baginda sebagai utusan Allah SWT,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan polis sedang menyiasat perkongsian hantaran menghina Nabi Muhammad SAW oleh pemilik Facebook yang menggunakan nama akuan Ainon Mohd, susulan 13 laporan polis yang diterima di seluruh negara setakat malam tadi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya turut merujuk kes sama kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi menurunkan paparan dalam akaun Facebook suspek yang boleh mengelirukan pihak yang membaca paparan berkenaan.

BH ONLINE