SUBANG – Bekas Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, menceraikan isteri keduanya, Marina Mohamed, dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling di sini, hari ini.
Selepas prosiding berlangsung hampir satu jam, mahkamah merekodkan talak oleh Abdul Azeez, 59, di hadapan Hakim Syarie, Abdul Malik Soleh pada jam 10.45 pagi.
Selesai menjatuhi talak, Ahli Majlis Tertinggi Umno itu terus meluru keluar dari kamar mahkamah dan menuju ke keretanya, sementara Marina, 50, kelihatan sebak.
Hakim syarie membenarkan permohonan cerai yang difailkan Abdul Azeez selaku plaintif terhadap Marina mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.
Abdul Malik mensabitkan berlaku perceraian dan memerintahkan Marina yang juga seorang peguam menjalani tempoh idah selama tiga kali suci serta mendaftarkan perpisahan berkenaan.
Untuk rekod, Marina pernah menjadi peguam Abdul Azeez yang dulunya Pengerusi Tabung Haji (TH) bagi permohonan kerajaan melucut hak wang hampir RM16 juta daripada akaun peribadi TH milik isterinya, Datin Seri Khadijah Mohd Noor serta empat anak mereka termasuk Azeera Management Consultants (M) Sdn Bhd pada 2021.
Selepas prosiding, peguam syarie, Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain yang mewakili Abdul Azeez, berkata anak guamnya mendapat kebenaran mahkamah menceraikan isteri keduanya itu selepas berlaku shiqaq iaitu perbalahan rumah tangga yang tidak dapat didamaikan.
“Kebenaran ini dibuat berasaskan keputusan Jawatankuasa Pendamai (JKP) yang dikendalikan pejabat agama bahawa pasangan menghadapi shiqaq.
“Perceraian berlaku secara baik dan anak guam melafazkan talak satu hari ini, mesti ditekankan ini isteri kedua,” katanya ketika ditemui selepas prosiding hari ini.
Sementara itu, peguam syarie, Azmi Mohd Rais yang mewakili Marina, berkata anak guamnya berkahwin dengan plaintif di Bachok, Kelantan pada 11 November 2019 tanpa dikurniakan cahaya mata.
“Mahkamah menasihati plaintif (Abdul Azeez) bagi melafazkan talak memandangkan hasil laporan JKP gagal mendamaikan pasangan berkenaan, selain laporan shiqaq dikeluarkan,” katanya.
Menurut beliau, permohonan cerai difailkan Abdul Azeez pada 9 Disember 2024 atas alasan tiada rahmah dan mawaddah untuk meneruskan perkahwinan, tiada persefahaman dan perasaan kasih sayang, selain wujud perbalahan dalam rumah tangga.
“Pada dasarnya, anak guam saya tidak bersetuju untuk diceraikan. Tapi selepas perjumpaan bersama JKP didapati tiada perdamaian jadi kuasa untuk menceraikan berada di tangan suami,” katanya.
BH ONLINE