JOHOR BAHRU – Seorang pesara kerajaan didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap seorang pemuda yang dikatakan ‘tidak berpuasa’ Ahad lalu.
Bagaimanapun, Abdul Razak Ismail, 65, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan pindaan dibacakan di hadapan Majistret A Shaarmini.
Abdul Razak didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Elijah Ling Zhao Zhong, 21.
Kesalahan didakwa dilakukan di tingkat satu sebuah pusat beli belah di Tampoi, di sini, kira-kira jam 6.15 petang, Ahad lalu.
Dia dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Afiqah Musa dan Nur Fatihah Mohd Nizam, manakala Abd Razak diwakili peguam, Mohd Salleh Togimin.
Nor Afiqah kemudian menawarkan jaminan RM8,000 terhadap tertuduh sementara menunggu kes disebut semula.
Bagaimanapun peguam tertuduh ketika berhujah berkata, jaminan RM8,000 adalah terlalu tinggi buat Abdul Razak yang juga pesara kerajaan yang perlu menanggung tiga anak termasuk seorang yang masih menuntut di institusi pengajian tinggi.
“Dimohon tawaran jaminan rendah diberikan kerana tawaran jaminan RM8,000 itu seolah-olah hukuman awal terhadap OKS, walaupun dia belum disabitkan bersalah,” hujahnya.
Majistret kemudian memerintahkan OKS dijamin RM2,000 dengan seorang penjamin.
Sebutan semula kes ditetapkan 29 April depan untuk serahan dokumen.
Terdahulu pada sebelah pagi, Mahkamah Majistret melepas tanpa membebaskan warga emas itu, dengan Majistret A Shaarmini membuat keputusan berkenaan selepas Timbalan Pendakwa Raya memaklumkan mendapat arahan untuk merujuk semula kertas siasatan kes ke Jabatan Peguam Negara (AGC) di Putrajaya.
Ahad lalu, tular video di media sosial yang memaparkan seorang pemuda ditegur lelaki yang juga warga emas berkenaan kerana didakwa makan secara terbuka pada bulan Ramadan di sebuah pusat beli-belah di sini.
Berlaku ketegangan apabila warga emas berkenaan meminta pemuda itu menunjukkan kad pengenalan bagi membuktikan dia bukan beragama Islam.
Pemuda itu yang enggan menunjukkan kad pengenalan kemudian mendakwa dimarahi warga emas berkenaan yang kemudian turut menamparnya beberapa kali.
BH ONLINE