Israel berkata ia pintas peluru berpandu dilancarkan dari Yaman

Tentera Israel berkata ia memintas peluru berpandu dilancarkan dari Yaman pada awal Khamis ketika permusuhan dengan Houthi semakin sengit, di tengah-tengah ancaman Presiden AS Donald Trump untuk menghukum Iran atas sokongannya terhadap kumpulan militan Yaman itu.

Siren berbunyi di beberapa kawasan di Israel selepas peluru itu dilepaskan, kata tentera. Polis Israel berkata siren kedengaran di Tel Aviv dan Baitulmaqdis.

“Sebuah peluru berpandu dilancarkan dari Yaman telah dipintas oleh IAF sebelum menyeberang ke wilayah Israel. Siren dibunyikan mengikut protokol,” kata tentera Israel dalam satu kenyataan, merujuk kepada tentera udaranya.

Perkhidmatan ambulans Israel berkata tiada kecederaan serius dilaporkan.

Militan Houthi Yaman, tidak terpengaruh oleh gelombang serangan AS sejak Sabtu, melepaskan peluru berpandu balistik ke arah Lapangan Terbang Ben Gurion dekat Tel Aviv, kata jurucakap tentera kumpulan itu dalam satu kenyataan di televisyen.

Kumpulan itu baru-baru ini berikrar untuk meningkatkan serangan mereka, termasuk yang menyasarkan Israel, sebagai tindak balas terhadap kempen AS.

Serangan AS yang bermula pada Sabtu berhubung serangan Houthi terhadap perkapalan Laut Merah adalah operasi ketenteraan AS terbesar di Timur Tengah sejak Presiden Donald Trump memegang jawatan pada Januari. Serangan AS telah membunuh sekurang-kurangnya 31 orang.

AN-REUTERS