Johor Bahru, Kulai, Pontian mula banjir – 10 PPS dibuka

JOHOR BAHRU – Banjir sudah mula melanda negeri ini susulan hujan berterusan sejak semalam dan setakat jam 8 pagi ini, tiga daerah iaitu Johor Bahru, Kulai dan Pontian mencatatkan mangsa banjir yang terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Setakat pagi ini, sebanyak 10 PPS sudah dibuka dengan enam di Johor Bahru serta masing-masing dua di Kulai dan Pontian, berbanding hanya tiga PPS dibuka pada 9 malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata setakat ini terdapat 893 mangsa terdiri daripada 257 keluarga ditempatkan di semua PPS yang dibuka.

“Johor Bahru setakat ini yang teruk terjejas dengan 567 mangsa daripada 165 keluarga dipindahkan ke PPS, diikuti Kulai dengan merekodkan 269 mangsa daripada 76 keluarga.

“Pontian mencatatkan 57 mangsa daripada 16 keluarga dari Kampung Paya Embun, Kampung Pak Karib, Kampung Melayu Raya, Kampung Seri Meranti dan Kampung Parit Sikom yang kini dipindahkan ke PPS,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sudah mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap buruk di enam daerah di negeri ini.

Amaran hujan lebat berterusan itu membabitkan daerah Johor Bahru, Kluang, Mersing, Pontian, Kulai dan Kota Tinggi yang dijangka berlaku hingga esok.

Amaran hujan berterusan tahap waspada pula dikeluarkan membabitkan daerah Tangkak, Segamat, Muar dan Batu Pajat, juga dijangka hingga esok.

Sungai Sayong yang juga sub lembangan Sungai Johor di Kulai merekodkan bacaan melepasi paras bahaya iaitu 20.85 meter, manakala dua sub lembangan Sungai Skudai di Johor Bahru turut merekodkan bacaan melepasi paras bahaya masing-masing 1.01 meter dan 4.24 meter.

BH ONLINE