ISLAMABAD/NEW DELHI, 10 Mei – Pakistan dan India mengumumkan pada Sabtu, mereka bersetuju dengan gencatan senjata.
Pengumuman itu dibuat selepas empat hari serangan tentera antara satu sama lain.
Timbalan Perdana Menteri Pakistan dan Menteri Luar Ishaq Dar berkata pada Sabtu, Pakistan dan India telah bersetuju dengan gencatan senjata berkuat kuasa serta-merta.
“Pakistan sentiasa berusaha untuk keamanan dan keselamatan di rantau ini, tanpa menjejaskan kedaulatan dan integriti wilayahnya,” kata Dar.
Dia berkata, selepas peningkatan ketegangan dan aktiviti ketenteraan baru-baru ini di kedua-dua pihak, beberapa negara, termasuk AS, Turki, dan Arab Saudi, telah berhubung dengan Pakistan.
Usaha diplomatik sedang dijalankan sepanjang hari, berikutan perjanjian gencatan senjata dicapai, tambahnya.
Sementara itu, Setiausaha Luar India Vikram Misri berkata pada Sabtu, kedua-dua negara bersetuju untuk mematuhi gencatan senjata dan menamatkan tindakan ketenteraan di sempadan dan Garis Kawalan (LoC) mereka.
“Pakistan (Ketua Pengarah Operasi Ketenteraan, atau DGMO) menghubungi DGMO India pada 15:35 waktu tempatan petang ini. Ia telah dipersetujui antara mereka bahawa kedua-dua pihak akan menghentikan semua tembakan dan tindakan ketenteraan di darat, di udara dan laut berkuat kuasa dari 17:00 waktu tempatan hari ini. Arahan telah diberikan kepada kedua-dua pihak untuk menguatkuasa kepada persefahaman ini di New Delhi,” kata Misri.
Menurut Misri, DGMO akan berbincang semula pada 12 Mei jam 12:00 waktu tempatan.
Pada Rabu, India melancarkan serangan udara ke atas sasaran Pakistan untuk membalas dendam terhadap pembunuhan 26 orang oleh lelaki bersenjata bulan lalu di bandar Pahalgam, kira-kira 89 km ke timur Srinagar, ibu kota musim panas Kashmir yang dikuasai India.
Keadaan di sepanjang LoC yang membahagikan Kashmir menjadi tegang apabila tentera India dan Pakistan yang ditempatkan di kedua-dua belah garisan gencatan senjata terlibat dalam berbalas tembakan dan artileri.
XINHUA